RSS
Facebook
Twitter

04 February 2014

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelar diri sebagai anggota gabungan NGO pro-Barisan Nasional, memberi tempoh 14 hari kepada anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok, untuk membuktikan lanun benar-benar wujud di Sabah.

Presiden NGO itu, Zulkarnain Mahdar berkata jika Kok gagal berbuat demikian dalam tempoh berkenaan, pihaknya sebagai rakyat Sabah akan memfailkan saman malu.
"Memang niat dia untuk memalukan orang Sabah, untuk menjejaskan imej Sabah kepada orang di luar Sabah.  Memang jelas dia beritahu di sini (dalam klip video)...anda boleh melancong ke Sabah dan berpeluang melihat lanun dengan pertunjukan bonus penculikan dan babak tembakan," katanya merujuk kepada klip video ucapan Tahun Baharu Cina Kok yang bersifat sindiran.
Beliau berkata gambaran yang dilihat orang ramai daripada klip video itu seolah-olah mereka yang ke Sabah akan menemui lanun dan ada kejadian tembak-menembak macam dalam pekan koboi, ini jelas memalukan orang Sabah.
Zulkarnain yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Pekerja Anak-Anak Sabah, Selangor berkata demikian kepada  pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu berhubung klip video "Onederful Malaysia CNY 2014" Kok yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini.
Menurut Zulkarnain, beliau menerima banyak pertanyaan daripada rakan-rakan yang tinggal di luar Sabah mengenai kandungan klip video berkenaan yang menggambarkan seolah-olah masih ada lanun di Sabah dan mereka ingin tahu di mana lanun berkenaan.
Klip video itu jelas berbaur fitnah kerana ia menggambarkan Sabah tidak aman sehingga boleh menjejaskan industri pelancongan yang merupakan satu daripada punca pendapatan utama negeri ini, katanya.
Zulkarnain juga kesal kerana gambaran tembak-menembak dalam klip video itu mempersenda anggota keselamatan negara yang berjuang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahan negara daripada ancaman musuh.
Katanya dalam insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada bulan Februari tahun lalu, 10 anggota keselamatan telah terkorban dan perbuatan Kok menerbitkan klip video berkenaan, boleh mengguris hati dan perasaan balu serta keluarga anggota keselamatan yang terkorban itu.
Klip video seperti itu tidak sepatutnya diterbitkan dalam suasana Tahun Baharu Cina yang disambut rakyat pelbagai kaum, terutama di Sabah, yang menyambutnya dalam suasana harmoni, katanya.      
"Bagi kami, video ini satu fitnah yang jelas. Kami minta penguam negara supaya berlaku adil terhadap undang-undang. Apabila ada pihak melakukan fitnah terutama berkaitan isu kenegerian, kita minta supaya mereka ini diambil tindakan," tegas beliau.
Zulkarnain turut meminta Ketua Menteri Sabah mengharamkan Kok dan tiga lagi individu dalam klip video berkenaan daripada memasuki Sabah. - 4 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About