Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mengakui Umno-Barisan Nasional lebih awal melakukan pembazirkan dalam pilihan raya kecil (PRK) sekaligus menolak dakwaan parti itu yang menuduh Pakatan Rakyat (PR) hanya membuang duit rakyat bagi mengadakan PRK Kajang.
Katanya ini adalah ketika PRK di kawasan Parlimen Kuala Selangor dan DUN Permatang pada tahun 1997 apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu, Datuk Abu Hassan Omar meletakkan jawatan menggantikan Tan Sri Muhhamad Taib sebagai Menteri Besar Selangor.
Saifuddin berkata situasi yang berlaku dahulu apabila Muhammad terpaksa melepaskan jawatanya kerana berdepan dengan pertuduhan di mahkamah Australia ekoran kegagalannya mengisytiharkan wang tunai sebanyak RM2.4 juta ketika meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada Disember 1996.
Abu Hassan kemudiannya meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen Kuala Selangor untuk bertanding di kerusi DUN Permatang yang ketika itu disandang Datuk Jamaluddin Adnan.
Pada PRK 29 Mei 1997 itu, BN berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi di mana Jamaluddin menerajui kawasan Parlimen Kuala Selangor dan Abu Hassan dilantik menjadi Menteri Besar pada 6 Jun.
“Kalau hendak dikatakan membazir, maka Umno lebih awal membazir kerana berlaku dua (PRK) di Selangor suatu ketika dahulu iaitu Parlimen Kuala Selangor dan DUN Permatang.
“Ini bermakna bukan kali pertama ada wakil rakyat letak jawatan bagi memberi laluan PRK diadakan,” katanya memetik dalam portal Detik Daily.
Beliau berkata demikian dalam sebuah diskusi “Demokrasi di Malaysia” anjuran kerajaan negeri Kelantan di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC) malam tadi
Selain beliau, anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut diundang sebagai speaker manakala Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator .
Beliau berkata lagi, bukan sesuatu yang pelik apabila berlaku perletakan jawatan wakil rakyat bagi memberi laluan kepada PRK dengan memberi contoh apa yang berlaku di Perak pada pilihan raya umum 2008. Khalid juga mempertahankan tindakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memutuskan untuk bertanding dalam PRK Kajang.
Beliau menegaskan penyertaannya itu bagi memperkukuhkan parti itu dan mendakwa Umno kini berhempas pulas merampas Selangor selepas misi mereka pada pilihan raya umum lepas tidak menjadi kenyataan.
"DatukSeri Anwar Ibrahim dibawa untuk memperkukuhkan kedudukan Pakatan di Selangor. Dengan kedudukan sebagai wakil rakyat, beliau boleh berperanan dengan lebih rasmi lagi.Sebelum ini beliau tidak boleh bertindak secara rasmi kerana tidak ada kedudukan di peringkat DUN,” katanya.
Malam semalam di hadapan kira-kira 500 penduduk tempatan Permatang Pauh, Anwar memberi penjelasan mengenai keputusannya bertanding pada PRK Kajang.
Anwar berkata, sejak beberapa bulan negeri itu diserang beberapa isu yang menguji kepimpinannya seperti isu Allah apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Persatuan Bible Selangor serta isu air di mana pelantikannya sebagai Adun dilihat mampu menangkis ribut tersebut yang tidak boleh dilakukan menteri besar sedia ada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Katanya, Selangor perlu menjadi negeri model PR yang mampu bertahan dengan pelbagai propaganda dan tekanan berterusan daripada Putrajaya.
“Ada banyak program ditangguhkan atau dilengahkan. Seperti isu air, Khalid sudah melakukan sebaik mungkin di bawah kuasanya tetapi masih belum berjaya. Sama juga dengan beberapa perkara yang berada di bawah kuasa persekutuan.
“Khalid sudah menunjukkan kemampuan dan keberkesanannya dalam beberapa bidang tetapi masih ada perkara yang berada di luar keupayaannya,” katanya.
Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Kajang Isnin lalu dan keesokan harinya Anwar diumumkan sebagai calon dalam PRK yang masih belum diumumkan.
Pencalonan Anwar menyebabkan spekulasi tersebar luas bahawa Anwar sedang meninjau untuk mengambil alih tugas menteri besar Selangor daripada Khalid untuk menyelesaikan pertelingkahan antara Khalid dengan Pengerusi PKR Selangor dan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali. – 2 Februari, 2014.
0 comments:
Post a Comment