RSS
Facebook
Twitter

22 February 2014

Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan pendakwaan selektif kerana perlukan bukti dan keterangan serta bukti yang kuat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, kedua-dua kriteria tersebut diperlukan untuk agensi pencegahan rasuah tersebut mengambil tindakan ke atas tertuduh.
"Memang SPRM melakukan pendakwaan selektif iaitu mendakwa orang yang mempunyai bukti dan keterangan yang kuat.
"Kalau keterangan tidak kuat, kita tidak tuduh, jadi kita (timbalan pendakwa raya) mesti buat pertimbangan yang teliti," kata Abu Kassim yang dipetik dalam wawancara ekslusif Mingguan Malaysia hari ini.
Abu Kassim menolak tuduhan mengatakan SPRM hanya membuat dakwaan ke atas kes kecil tetapi tidak kes besar.
"Pertamanya jangan tanya kita mengenai pertuduhan kerana kerja SPRM ialah menyiasat, itu perlu jelas.
"Pendakwaan diputuskan oleh timbalan pendakwa raya," katanya.
Desakan SPRM diberikan kuasa pendakwaan kes rasuah beberapa kali dibangkitkan, saranan sama juga dibuat oleh Jawatankuasa Khas dalam Laporan SPRM 2009.
Malah, badan pemantau pencegahan rasuah antarabangsa, Transparency International (TI-M) juga menggesa agar SPRM diberikan autonomi yang lebih untuk melakukan pendakwaan.
Tiada kuasa pendakwaan yang diberikan kepada SPRM menyebabkan banyak pihak mempersoalkan ketelusan dan integriti pihak berkuasa tersebut, terutamanya dalam melibatkan pendakwaan kes-kes besar.
Abu Kassim berkata, sesuatu pertuduhan yang dibuat mempunyai piawaian tertentu, jika tidak kes pendakwaan akan ditolak oleh mahkamah.
"Yang keduanya, menuduh orang ini ada standardnya, mesti cukup keterangan.
"Pihak pendakwa selalunya melihat keterangan berdasarkan kehendak mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, SPRM juga berdepan kesukaran dalam membuat pertuduhan kerana buktik keterangan semata-mata tidak mencukupi untuk mensabitkan tertuduh.
"Kesukaran yang sering dihadapi apabila kita tidak mempunyai bukti yang cukup seperti tiada siapa yang melihat perkara itu, tiada rakaman video walaupun dia sudah mengaku.
"Berdasarkan pengalaman, timbalan pendakwa raya tidak akan membawa kes seumpama ini ke mahkamah kerana setiap kali dibawa ia akan dibuang kerana mahkamah tidak akan menerima berdasarkan kenyataan semata-mata. Itula masalah kita," katanya.
Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh TI-M tahun lalu, naik satu anak tangga daripada kedudukan 54 ke 53 berbanding 2012.
Malaysia berada di kedudukan ketiga bagi skor CPI antara di kalangan negara Asean, Singapura berada pada kedudukan pertama dengan 86 mata dan diikuti Brunei Kedua dengan 60 mata.
Berbanding Singapura, kedudukan Malaysia masih jauh ketinggalan malah negara jiran itu berada pada tangga kelima daripada keseluruhan 177 negara yang mengambil bahagian dalam kajian skor CPI ini. - 23 Februari, 2014

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About