RSS
Facebook
Twitter

28 February 2014

Spekulasi mengatakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) bakal mencabar Mohamed Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden PKR, kata satu sumber.

Menurut sumber itu, Khalid akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin PKR yang rapat dengannya di kediaman rasminya pukul 8 malam ini dalam satu majlis bertajuk "Majlis Kasih Bertaut", bagaimanapun jemputan rasmi tidak menyebut apa-apa mengenai Khalid bakal mengumumkan hasratnya untuk bertanding.
Sumber mengatakan terdapat satu "jemputan tidak rasmi" beredar di kalangan pemimpin parti yang mengatakan Khalid akan mendedahkan beliau bersedia merebut jawatan nombor dua PKR itu.
Bagaimanapun, Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan akan adanya pengumuman bahawa Khalid akan bertanding malam ini.
"Saya tidak tahu tentang apa-apa pengumuman.
"Apa yang saya tahu, majlis malam ini diadakan untuk pemimpin PKR yang sudah dirancang sejak sekian lama," kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Arfa'eza Aziz.
Terdahulu, kemungkinan Khalid bertanding dalam jawatan nombor dua PKR dengan sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ganjaran melepaskan kedudukannya sebagai menteri besar Selangor.
"PRK Kajang ini hanya platform bagi pemilihan parti April nanti," kata satu sumber dalaman parti.
Malah, sumber mendedahkan, sehingga kini Khalid masih belum menandatangani sebarang surat perjanjian untuk melepaskan jawatannya.
"Mana ada dia tandatangani, sampai sekarang pun belum ada apa-apa lagi.
"Ini yang membimbangkan. Khalid mungkin menggunakan surat tersebut untuk memaksa Anwar untuk menyokong dia," katanya sumber itu lagi.
Tidak menolak sokongan akar umbi masih lagi memihak kepada Azmin, sumber menegaskan, situasi tersebut akan berubah sekiranya Anwar sendiri menyokong Khalid untuk bertanding.
Sumber mendedahkan Khalid cuba bermain "tarik tali" dalam isu jawatan menteri besar, bersikap seolah-olah tidak mengetahui tentang usaha untuk menggulingkannya.
Khalid sehingga kini masih belum memberikan sebarang isyarat untuk bertanding dalam pemilihan parti, namun Azmin sejak awal sudah memulakan kempen mempertahankan jawatannya.
Khalid dan Azmin sering tidak sekata serta menimbulkan banyak pertikaian dalam banyak perkara, antaranya baru-baru ini dalam isu melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.
Penamaan calon di peringkat pusat akan diadakan pada 29 Mac.
Bagi peringkat cawangan pula, ia akan diadakan mengikut zon bermula 4 hingga 13 April ini.
Azmin menjadi timbalan presiden PKR sejak tahun 2010 dan tidak lama kemudian dilantik menjadi pengerusi PKR Selangor, menggantikan Khalid. – 28 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About