RSS
Facebook
Twitter

04 February 2014

Tindakan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok menimbulkan kemarahan orang ramai kerana bersikap "kiasu" dan memburukkan imej negara dengan mendakwa semua perkara yang dilakukan kerajaan tidak betul.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata lakonan Teresa dalam klip video bertajuk "Onederful Malaysia" sempena Tahun Baharu Cina disebarkan menerusi YouTube baru-baru itu sudah pasti menyebabkan semua orang marah kelak.
"Teresa mempunyai cita rasa yang kurang baik, adakah ini harus dijadikan contoh baik seorang pemimpin DAP? Bila kita mula memaki-hamun orang lain dan mencari kelemahan orang lain dan memburuk-burukkan negara, ia akan mengundang orang lain membuat perkara yang sama kelak," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Measat Satelite Systems Sdn Bhd di Cyberjaya hari ini.
Turut hadir Pengarah Measat Satellite Systems Sdn Bhd (Measat) Tun Hanif Omar, Ketua Pegawai Operasi Measat, Paul Brown-Kenyon dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Mohamad Sharil Tarmizi.
Pada majlis yang sama, Ahmad Shabery turut melancarkan buku bertajuk "Communications Satellite Fundamentals - From Design to Launch and Operation" hasil tulisan Naib Presiden Kanan Measat (Bahagian Pembangunan Sistem Angkasa Lepas) Dr Ali R.Ebadi.
Buku berkenaan diterbitkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Measat dalam membantu negara melahirkan lebih ramai pakar dalam teknologi pada masa depan dari kalangan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak menghentikan perkara itu (memburuk-burukkan pemimpin negara dan imej negara) menerusi YouTube dan saluran media sosial yang lain kerana ia boleh menjejaskan keamanan khususnya perpaduan kaum pada masa depan.
Ditanya apakah tindakan yang akan diambil terhadap perbuatan memburuk-burukkan agama Kristian di Facebook dan di platform media sosial yang lain, Ketua Pegawai Eksekutif SKMM Datuk Mohamad Sharil Tarmizi berkata SKMM sedang meneliti perkara itu dan akan bekerjasama dengan polis.
Tindakan yang sewajarnya akan dikenakan kepada individu yang didapati menyebarkan maklumat atau berita yang mampu mengganggu keselamatan negara iaitu mempermainkan isu-isu agama, kata Mohamad Sharil.
Mengenai Measat, Ahmad Shabery berkata beliau kagum dengan program pelaburan Measat dalam menambah baik keupayaan Malaysia dalam sektor satelit berteknologi tinggi.
"Measat yang merupakan satu-satunya pengendali satelit komersial berlesen di Malaysia, mempunyai peranan yang penting dalam menyokong infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk pelanggan komersial dan juga projek-projek kerajaan, contohnya membangunkan dan meluaskan rangkaian ICT ke kawasan pedalaman di seluruh negara.
"Pada zaman sekarang, infrastruktur ICT adalah antara penyumbang terbesar dalam pembangunan sosial dan ekonomi, itu sebabnya kerajaan telah melakukan pelaburan dalam ICT bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada masa depan," kata Ahmad Shabery.
Sementara itu, Hanif berkata Measat dijadual melancarkan satelit terbaharunya, Measat-3b di European Spaceport, French Guinea, Mei ini.
"Projek yang menelan belanja kira-kira RM1.25 bilion (US$370 juta) ini apabila mula beroperasi kelak akan digunakan untuk menyalurkan perkhidmatan data dan video di Malaysia, Indonesia, India dan Australia," katanya.
Hanif berkata Measat juga turut menyokong dan menyumbang dalam program jalur lebar kerajaan di seluruh negara menerusi penggunaan satelit Measat-5, satelit yang canggih itu mampu menyediakan kapasiti jalur lebar satelit sebanyak 3g bytes.
Measat-5 digunakan pelbagai pengendali telekomunikasi di Malaysia dalam menyokong beberapa projek ICT kerajaan, antaranya pusat jalur lebar komuniti, perpustakaan jalur lebar komuniti dan kampung tanpa wayar, kata Hanif. - 4 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About