RSS
Facebook
Twitter

14 February 2014

Senator Datuk Paul Low menegaskan hari ini beliau tidak akan mengikut jejak bekas Timbalan Menteri, P Waytha Moorthy yang meletakkan jawatan baru-baru ini walaupun terdapat desakan kepada beliau untuk berbuat demikian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan integriti dan ketelusan itu berkata, beliau masih mempunyai tugas yang perlu diselesaikan sebelum berhenti.
"Saya hanya boleh komen yang saya tidak akan letak jawatan. Mengapa saya harus letak jawatan? Saya masih belum laksanakan rancangan saya," katanyakepada pemberita selepas forum anjuran Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
"Saya tidak mudah berputus asa, saya tidak akan letak jawatan dengan mudah. Saya tahu apa yang sedang saya lakukan. Jadi saya buat sahaja," katanya.
Low berkata,  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil langkah berani dengan melantiknya sebagai menteri ketika sedang menjawat sebagai presiden Transparency International Malaysia (TI-M).
"Apa akan jadi jika saya gagal? Saya mesti penuhi kepercayaan diberikan kepada saya olehnya (Najib) dan rakyat," katanya.
Najib melantik Low dan Waytha Moorthy selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan kedua-duanya seringkali dikritik hebat oleh ahli politik Pakatan Rakyat (PR) dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO).
Low dibawa masuk ke Kabinet untuk menguruskan isu rasuah dan untuk meningkatkan program anti rasuah Putrajaya kerana latar belakangnya sebagai bekas presiden TI-M.
Pada 10 Febuari, Waytha Moorthy meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri sebagai bantahan terhadap Putrajaya yang dikatakan tidak memenuhi janji memperbaiki kehidupan dan kebajikan masyarakat India di Malaysia.
Masih belum jelas apakah Waytha akan turut meletakkan jawatan senatornya.
Pelantikan Waytha Moorthy dilihat sebagai ganjaran kerana kejayaan mengembalikan semula sokongan masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum 5 Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, Waytha Moorthy sejak pada awal lagi dilihat sukar untuk bekerja dengan pemimpin BN khususnya Umno kerana perbezaan pendiriannya dengan pemimpin dalam pentadbiran Najib.
Sejak awal lagi bibit ketegangan kelihatan, Waytha Moorthy menerima tamparan pertama apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memintanya supaya meletakkan jawatan kerana mempersoalkan tindakan pihak berkuasa polis.
Kurang tiga minggu sebelum PRU13, Waytha Moorthy menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan BN. - 15 Febuari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About