RSS
Facebook
Twitter

13 February 2014

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini membidas tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkempen awal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Beliau menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang itu sebagai bukti yang parti pembangkang tidak menghormati peraturan pilihan raya dan undang-undang negara yang seharusnya dipatuhi semua pihak.
"Saya amat kesal dengan tindakan Anwar yang sudah berkempen di Kajang walaupun (pada masa itu) SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) masih belum memutuskan tarikh pilihan raya kecil (PRK)," katanya ketika mengulas tindakan Anwar yang sudah mula berkempen bagi DUN Kajang walaupun pemilihan hanya akan berlangsung bulan depan.
Shafie berkata demikian selepas melancarkan program Komuniti Sihat, Perkasa Negara (Kospen) peringkat kebangsaan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam di Sekolah Kebangsaan Kuala Paya, Buloh Kasap dekat Segamat.
Ketika ditanya mengenai persiapan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya kecil itu, beliau berkata BN sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi PRK seumpama itu.
Mengulas mengenai pelantikan Ketua Menteri Sarawak yang baharu, Tan Sri Adenan Satem, Shafie berkata pengganti Tan Sri Abdul Taib Mahmud itu mampu menggalas tanggungjawab itu sekali gus meneruskan kesinambungan kepimpinan BN di negeri itu.
"Beliau mempunyai pengalaman luas di peringkat kebangsaan dan pernah menjadi Menteri Kerajaan Pusat sebelum ini yang saya fikir menjadi satu daripada kriteria pemilihannya sebagai pengganti Abdul Taib," kata beliau.
Terdahulu dalam ucapannya, Shafie berkata program Kospen boleh membantu mengawal penyakit bukan berjangkit malah dapat mengurangkan beban kerajaan menyediakan peruntukan bagi rawatan kepada penghidap penyakit berkenaan.
Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata pihaknya telah mengarahkan pemaju masyarakat Kemas untuk membantu menjayakan program itu yang bertujuan meningkatkan tahap kesihatan penduduk di luar bandar. -13 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About