RSS
Facebook
Twitter

04 February 2014

Selepas 100 hari menghalang cadangan pembinaan empangan di daerah Baram, penduduk pribumi Sarawak semalam mendengar berita tidak menggembirakan dari Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa empangan itu akan dibina.

Apa yang lebih memeranjatkan lagi, kerajaan negeri bersetuju membina dua empangan iaitu di Baram dan di Tageh secara serentak daripada membinanya satu persatu.
Biarpun seringkali dikecam pihak pembangkang berhubung cadangan kerajaan negeri membina 12 empangan keseluruhannya bagi merancakkan perindustrian, Taib berkata pembinaan serentak itu bagi memenuhi keperluan syarikat dari Jepun, Korea dan Timur Tengah yang menunjukkan minat untuk membina kilang mereka di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score).
Koridor industri itu bermula dari Tanjong Manis di Sarikei di bahagian tengah Sarawak, ke Samalaju di utara bahagian Bintulu.
Bercakap di pra-pelancaran Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) kampus Sibu, Taib berkata empangan Bakun yang siap pada 2009 dan empangan Murum yang hampir siap tidak mampu menjana tenaga yang diperlukan syarikat berkenaan.
"Dengan dua empangan baru (Baram dan Baleh), kita boleh menyediakan keperluan tenaga lebih tinggi, terutamanya kepada pelabur baru di Score," katanya.
Beliau berkata Sarawak perlu mengurangkan penerimaan permohonan syarikat baru yang mahu melabur di Score atas masalah bekalan elektrik.

Badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar tempatan dalam kempen anti empangan, Save Sarawak Rivers Network, bertindak pantas mendakwa Taib cuba memadamkan kontroversi dengan mengenepikan harapan penduduk yang terjejas dalam pembinaan empangan tersebut.

Pengerusi Save Rivers, Peter Kallang mendakwa Taib mengabaikan piawaian dan etika antarabangsa pembinaan empangan seperti prinsip Persetujuan Bebas, Awal dan Termaklum (FPIC) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kenyataan ketua menteri tidak mengejutkan. Daripada kenyataan itu, melihatkan fokus kepada pembinaan empangan dan bukannya kebajikan penduduk, negeri atau pun persekitaran,” katanya.
Aktivis yang juga merupakan jurutera elektrik ini mempersoalkan sikap tergesa-gesa Taib membina lebih banyak empangan.
Katanya, pendedahan terbaru empangan Bakun yang bernilai RM7.8 bilion dan mampu menjana tenaga 2,400 megawatt (Mw) dipasang dengan tujuh turbin yang disahkan daripada lapan unit, tetapi hanya enam unit beroperasi.
Kallang mendakwa enam unit itu beroperasi dengan beban separa -150Mw, dan unit yang lain tidak beroperasi untuk diselenggara.
“Jika permintaan kuasa sebanyak yang dinyatakan ketua menteri, mengapa enam unit itu tidak beroperasi dengan kapasiti penuh? Kenapa tidak diberi pengesahan segera kepada satu unit lagi?
“Apabila empangan Murum beroperasi, terdapat tenaga tambahan sebanyak 944Mw. Jadi mengapa tergesa-gesa membina lebih banyak empangan? Ada pihak yang sepertinya tidak melihat realiti atau sengaja mengelirukan rakyat demi agenda peribadi,” katanya.
Save Rivers dan satu kumpulan alam sekitar antarabangsa sejak dahulu mendakwa Taib menggunakan projek empangan bagi mengaut kekayaan sendiri dan ahli keluarga.
Dua NGO Eropah, Bruno Manser Fund (BMF) dan Fivas dari Norway meminta bantuan badan anti rasuah negara itu, Økokrim pada November tahun lalu bagi menyiasat kontrak lumayan negeri yang diberikan kepada syarikat berkaitan Taib.
BMF dan Fivas membuat aduan segera, sementara Økokrim menyelar Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Bhd (SEB), Datuk Torstein Dale Sjotveit.
Mereka berkata, Sjotveit warga Norway yang mengetuai firma bekalan elektrik negeri patut disiasat kerana menganugerahkan dua kontrak SEB kepada Trenergy Infrastructure Sdn Bhd, syarikat milik Sarawak Cable Bhd (SCB) yang dipengerusikan anak Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib.
Dua kontrak tersebut bernilai RM618.6 juta bagi pembinaan dua projek talian penghantaran 500kV dari Mapai ke Lachau dan Lachau ke Tondong, Sarawak.
Di bawah undang-undang anti rasuah Norway, warga mereka akan dipertanggungjawabkan sekiranya didapati bersalah di mana-mana negara sekalipun. – 5 Febuari, 2014

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About