RSS
Facebook
Twitter

11 February 2014

Lee Chin Cheh kelihatan tenang orangnya, hampir tidak menyedari kesan dilakukannya mampu menggemparkan negara apabila beliau secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, dua minggu lalu.

Enggan menyahut cerita-cerita yang berputar di media, ahli korporat dan peguam pindah hak itu berkata, kehidupannya berjalan seperti biasa.
Pada ketika ini, kisah mengapa bekas Adun PKR penggal pertama itu meletak jawatan, menjadi cerita biasa di kalangan rakyat Malaysia.
Lee dan partinya mendakwa langkah itu dan keputusan menempatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerusi campuran berkenaan bertujuan mengukuhkan kemampuan pakatan pembangkang untuk berkhidmat kepada pengundi bandar di samping mempertahankan Selangor daripada diambil alih oleh Umno.
Sejak minggu lalu, bekas Adun berusia 43 tahun itu bersama Anwar berjumpa dengan masyarakat dan menjelaskan keputusannya, menekankan bahawa beliau tidak berdepan dengan sebarang permusuhan atau marah daripada pengundi.
Malahan, katanya, maklum balas yang diterima amat positif.
“Persoalan mengkhianat tidak timbul kerana saya bukan berhenti dan kemudian menyertai parti lain.
“Saya meletak jawatan demi parti, untuk Pakatan dan bagi calon yang lebih baik,” katanya dalam satu temubual di firma guamannya di Petaling Jaya.
Berkemeja belang biru dan putih serta berseluar panjang hitam, Lee menafikan dakwaan bahawa beliau berhenti kerana tidak mampu mengendalikan beban tugas atau dipaksa, atau dibayar untuk melepaskan kerusi itu.
“Itu semua mengarut! Saya tidak minta apa-apa. Saya sukarela kerana saya percaya ia akan membawa kepada Selangor yang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Lee berkata, beliau sudah lama berpendapat bahawa Selangor sebagai negeri industri yang paling kaya di Malaysia memerlukan Anwar untuk memperbaiki pentadbiran negeri.
“Mereka yang berumur 40 tahun ke bawah tidak pernah tahu bagaimana beliau bekerja dan ada keperluan untuk mendapatkan landasan bagi Anwar menunjukkan bakatnya,” katanya.
Peguam itu berkata, beliau berjumpa Anwar selama 5 minit sahaja, iaitu tiga jam sebelum menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada speaker negeri, Hannah Yeoh.
“Saya mahu tahu sama ada saya akan dikenakan tindakan jika berhenti kerana semua wakil yang dipilih diwajibkan menandatangani kontrak sebelum PRU13. Saya juga mahukan pengesahan bahawa beliau akan bertanding di situ dan nasih baik beliau menenangkan fikiran saya,” katanya.
Ketika ditanya pendapatnya mengenai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lee berkata, Abdul Khalid mempuyai kekuatan tersendiri, tetapi dalam perkara tertentu, menteri besar itu tidak bergerak mengikut rentak yang diharapkan oleh rakyat.
Sehubungan itu, beliau percaya dengan adanya Anwar dalam pentadbiran dapat membantu mempercepat beberapa perkara.
Beliau mengaku tidak membangkitkan kebimbangan itu kepada Abdul Khalid secara langsung tetapi menekankan bahawa beliau pernah melakukannya beberapa kali dalam rangka kerja parti.
Ada juga yang melihat Lee sebagai ahli politik yang agak keberatan, seseorang yang lebih gemar bekerja di belakang tabir daripada menerima perhatian ramai.
Lee berkata, sepanjang setahun lalu menjadi Adun Kajang, kebanyakan masanya dengan purata 16 hari sebulan dihabiskan untuk berjumpa orang kawasannya dengan setiap hujung minggu penuh dengan program kawasan dari pagi hingga malam.
 Sepanjang menjadi Adun, Lee berulang-alik ke Kajang sama ada dari rumahnya di Shah Alam atau pejabatnya di Petaling Jaya.
Isterinya, seorang akauntan yang turut membantu Lee di firma guamannya dan dua anak mereka berumur 9 dan 7 tahun sangat gembira dengan keputusannya meletakkan jawatan sebagai Adun  kerana ia bermakna selepas ini, beliau akan mempunyai lebih masa untuk keluarga.
“Anak saya kata `ini maknanya tidak perlu ke Kajang untuk kerja’,” katanya tertawa.
Walaupun tidak layak untuk dicalonkan dalam pilihan raya akan datang, Lee tidak menyesal dan berkata, beliau masih boleh membantu pakatan pembangkang di belakang tabir atas kapasitinya sebagai timbalan setiausaha PKR negeri dan ketua bahagian Petaling Jaya Utara.
“Saya tidak mahu menggambarkan keputusan saya sebagai pengorbanan. Saya gembira melakukannya kerana saya dicalonkan oleh parti untuk bertanding di kerusi itu.
“Selagi parti memerlukan saya, saya akan terus menyumbang tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran,” katanya dan menambah seseorang boleh berkhidmat kepada parti dan rakyat tanpa memerlukan pejabat awam.
Buat masa ini, harapannya ialah Anwar akan akhirnya mengambil alih jawatan menteri besar Selangor, langkah yang beliau yakin akan memberi manfaat bukan sahaja kepada negeri, tetapi juga untuk penduduk Kajang.
PRK Kajang akan berlangsung pada 23 Mac manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.
PKR dengan jelas mengumumkan Anwar sebagai calon PKR, manakala, Barisan Nasional masih belum menamakan calon. – 12 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About