RSS
Facebook
Twitter

07 February 2014

Perkara mengenai menteri besar Selangor patut dibincang dan diputuskan oleh Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat, sebelum sesiapa mahu membayangkan dirinya menteri besar, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Suhaizan Kayat.

Beliau berkata tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan dirinya mungkin menjadi menteri besar Selangor jika menang Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac depan, dilihat sebagai suatu yang tidak wajar.
(Malah) Tindakan Anwar itu dilihat seperti tidak menghormati menteri besar sedia ada, kata Suhaizan.
"Cuba bayangkan ketika ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjawat jawatan Menteri Besar Selangor dan tiba-tiba ada pihak mengaku akan menjadi menteri besar Selangor (menggantikan Abdul Khalid).
"Ia seakan tidak enak didengar, biarlah Abdul Khalid menjadi Menteri Besar dan tidak perlu ada orang cakap mahu menggantikannya sehingga perkara itu dibincang dan diputuskan secara bersama dalam Pakatan Rakyat (PR)," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam laporan media hari ini Anwar dipetik sebagai berkata beliau mungkin akan dilantik menteri besar Selangor menggantikan Abdul Khalid jika menang PRK kerusi DUN Kajang.
Kerusi DUN Kajang kosong berikutan peletakan jawatan secara mengejut Adun daripada PKR, Lee Chin Cheh pada 27 Jan sebelum Anwar diumumkan sebagai calon PRK kerusi DUN berkenaan sehari kemudian.
"Kita tunggu sahaja sehingga keputusan DUN Kajang nanti dan jika beliau (Anwar) menang, Majlis Tertinggi PR akan bermesyuarat dan berbincang sebelum membuat sebarang keputusan," kata Suhaizan.
Beliau berkata walaupun PAS sebelum ini berkeras menolak Anwar sebagai calon menteri besar Selangor menggantikan Abdul Khalid, namun parti itu terpaksa akan akur dengan sebarang keputusan yang diputuskan Majlis Tertinggi.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Anwar itu.
Katanya soal siapa menjadi menteri besar seharusnya tidak timbul kerana tumpuan sebenar ketika ini adalah untuk Pakatan Rakyat memenangani PRK DUN Kajang.
"PAS tidak mahu fikir siapa jadi menteri besar dan perkara itu biarlah diputuskan secara bersama dalam Pakatan Rakyat kerana tumpuan kita adalah PRK DUN Kajang," kata Tuan Ibrahim.
Sementara itu di Kajang, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata Anwar patut memberitahu pengundi PRK jika benar beliau akan menjadi menteri besar Selangor sebelum hari pengundian.
"Warga Kajang berhak untuk mengetahui perkara sebenar. Walaupun sudah beberapa kali Anwar memberi bayangan jawatan menteri besar untuknya...tetapi tidak pernah menyatakan secara berterus-terang.
"Rakyat Kajang juga perlu tahu sama ada Anwar wajar dipilih menjadi wakil rakyat yang bersedia untuk berkhidmat dan bukan untuk percaturan politik sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan "angpau" dan buah limau di Rumah Kebajikan Orang Tua Caring di Kajang.
Mah berkata politik sebegini semata-mata atas kepentingan diri dan terus memperbodohkan rakyat.
"Tindakan wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi DUN Kajang pun telah bukan sahaja membebankan rakyat, tetapi juga membelot kepercayaan rakyat yang mengundinya dengan harapan untuk melihat pembangunan dalam jangka masa lima tahun," katanya.
Sehubungan itu, Mah sekali lagi menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula undang-undang yang ada agar amalan tukar wakil rakyat sesuka hati sehingga memaksa pilihan raya kecil diadakan, tidak berulang.
"Hukuman yang berat sepatutnya diberikan kepada mana-mana wakil rakyat dan parti politik yang terlibat, yang dengan sengaja mahu meletakkan jawatan tanpa alasan munasabah," katanya.
Di Petaling Jaya, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Idris Jusoh  menyifatkan Anwar seorang yang "pelik" kerana kerap mengeluarkan kenyataan dan pendirian yang berubah-ubah mengenai pelbagai perkara.
"Nak komen (tentang) Anwar ni letih. Dia boleh kata apa dia nak kata, boleh buat apa dia nak buat. Dia kata membazir, tapi dia nak buat pilihan raya. Pelik lelaki ni," katanya.
"(Dan) saya tidak tahu kenapa orang masih menyokongnya...masih melihat dia sebagai seorang yang begitu hebat...(sedangkan) hari ini cakap macam ni, esok cakap macam ni (lain). Dulu nak jadi perdana menteri, sekarang nak jadi menteri besar (pula)," katanya. - 7 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About