RSS
Facebook
Twitter

15 February 2014

Seorang guru menangkap tiga lelaki yang cuba mengedar beberapa Bible berbahasa Melayu kepada pelajar di sebuah sekolah di Georgetown, Pulau Pinang.

Menurut Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Haji Zainal Abidin, Nor Amin Ahmad, kejadian berkenaan berlaku di sekolah berkenaan yang jaraknya tidak jauh dari sekolah itu.
Pihaknya kesal kerana Bible dalam bahasa Melayu itu juga tertulis kalimah Allah yang dibimbangi boleh mengelirukan pelajar sekolah.
“Tajuk kitab itu ialah Kenalilah Al Kitab dan di bahagian bawahnya mereka cuba menarik pembaca dengan menulis ‘Sebuah panorama Firman Allah dalam 366 bacaan dan renungan harian'.
“Kenapa kitab sedemikian cuba diedarkan kepada pelajar? Lebih mengelirukan kerana ia dalam bahasa Melayu. Jadi memang (jelas) matlamatnya untuk memesongkan akidah pelajar Melayu Islam,” katanya dipetik dari Sinar Harian.
Nor Amin menggesa pihak sekolah memantau lebih ketat, khasnya pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan sekolah.
Pada 27 Disember lepas Pengarang Herald, Paderi Lawrence Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Melayu walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.
Pada Januari, ketegangan kemelut isu kalimah Allah berada pada kemuncak selepas Gereja Church of the Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang diserang bom buatan sendiri.
Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Islam mencetuskan perbalahan apabila umat Islam yang membentuk sejumlah besar populasi di negara ini menganggap perkataan berkenaan adalah hak eksklusif mereka.
Penganut Kristian membentuk 9% daripada 29 juta rakyat di negara ini.
Isu perebutan kalimah Allah timbul pada 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri mengugut membatalkan permit akhbar mingguan Herald yang menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan kepada Tuhan. – 16 Februari, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About