RSS
Facebook
Twitter

05 March 2014

SPR umum PRK Balingian 29 Mac

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 29 Mac sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian selepas PRK Kajang yang ditetapkan pada 23 Mac selesai diadakan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tarikh pengundian awal adalah pada 25 Mac manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 17 Mac.
Aziz berkata, daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2012 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku pertama, kedua, ketiga 2013 dan dikemaskinikan sehingga 27 Februari 2014.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan tarikh PRK berkenaan pada pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai PRK DUN Balingian di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, hari ini.
Kerusi DUN Balingian kosong susulan peletakan jawatan penyandangnya Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Pengerusi SPR turut mengumumkan seorang pegawai pengurus pilihan raya, Shafrie Saili dan tiga penolong pegawai pengurus dilantik bagi menjalankan PRK tersebut.
“Bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi yang ditetapkan, SPR menubuhkan tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya (PP-KPR)," katanya.
Aziz berkata, SPR akan menggunakan Dewan Suarah Mesra Mukah sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.
"SPR menetapkan 21 pusat mengundi bagi pengundian biasa dan sebuah pusat mengundi bagi pengundian awal.
"Seramai 441 petugas pilihan raya akan dilantik untuk proses pengendalian pilihan raya," katanya.
Beliau berkata, anggaran kos perbelanjaan bagi PRK Balingian ialah RM910,213.
Walaupun sebelum ini, terdapat ura-ura menyatakan PRK Balingian akan diadakan serentak dengan PRK Kajang, Aziz bagaimanapun berkata, ia tidak mampu dilakukan kerana jangka masa yang agak singkat.
"Daripada segi undang-undang memang tidak ada masalah untuk mengadakan PRK serentak Balingian dan Kajang.
"Namun tidak pada teknikalnya kerana tempoh masa yang singkat kita tidak cukup petugas untuk menjalankan PRK serentak," katanya.
Selain itu, beliau mengakui cabaran PRK Balingian dan Kajang adalah dua perkara biasa apabila SPR sudah mengetahui sebulan sebelum itu.
"Ia amat berbeza kerana kita sudah ada persiapan awal apabila mendengar ura-ura peletakan jawatan sebulan lalu, jadi segala kesulitan di Balingian tidak begitu menonjol.
"Berbeza dengan PRK Kajang, kita akui agak terkejut dengan peletakan secara tiba-tiba bekas Adunnya, Lee Chin Cheh," katanya.
Mengikut daftar pemilih yang dikemaskini sehingga 27 Februari 2014 Balingian mempunyai 13,666 pemilih pendaftar terdiri daripada 13,233 pengundi biasa dan 133 pengundi awal. - 6 Mac, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About