RSS
Facebook
Twitter

12 March 2014

Tujuh kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, setakat pukul 5 petang hari ini.

Menurut senarai bacaan IPU yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), tujuh kawasan yang mencatat bacaan tidak sihat ialah Nilai (108), Seremban (102), Banting (107), Kuala Selangor (104), Pelabuhan Klang (142), Cheras (108) dan Putrajaya (110).
Terdapat 17 kawasan mencatat bacaan IPU pada tahap baik sementara 28 kawasan mencatat IPU sederhana. IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel dalam kenyataan hari ini berkata, pengawasan rapi status kualiti udara dilaksanakan melalui 52 stesen pengawasan kualiti udara yang ditempatkan di seluruh negara bagi mengesan sebarang perubahan kepada status kualiti udara dan sebagai pengesanan awal kejadian jerebu.
Katanya, keadaan jerebu sederhana yang dialami negara pada masa kini adalah disebabkan punca dalaman berikutan kebakaran tanah dan hutan di beberapa negeri antaranya Selangor, Perak, Pahang, Johor dan Terengganu.
"Terdapat juga punca dalaman lain seperti pelepasan daripada industri, kenderaan bermotor dan aktiviti kerja tanah. Dalam keadaan cuaca panas dan kering yang berlarutan, habuk terampai kekal berkumpul di ruang udara dan menyebabkan jerebu," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan JAS, sejak Januari sehingga Selasa,  sebanyak 1,392 kes pembakaran terbuka dikesan iaitu pembakaran terbuka melibatkan kawasan hutan (284 kes), kawasan pertanian (482 kes).
Kawasan industri (18 kes), kawasan pembinaan (45 kes), tapak pelupusan sampah (24 kes), kawasan belukar (285 kes) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (254 kes).
Bagi tempoh sama, sebanyak 119 kes pembakaran terbuka telah dikompaun dan 31 kes telah dikeluarkan notis amaran.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. - 12 Mac, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About