Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan masyarakat Cina menolak konsep "perkongsian" dengan mengundi Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya lalu merupakan punca bahang perkauman di negara ini semakin tegang.
Bekas perdana menteri itu menyifatkan pengundi kaum Cina sebagai punca Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan lemah ketika ini.
"Melayu terpecah kepada tiga parti dan setiap daripadanya memerlukan sokongan Cina untuk menang.
"Cina memiliki undi penentu dan berada dalam kedudukan untuk memberi kemenangan kepada yang mereka percayai boleh membuang konsep perkongsian," tulis Dr Mahathir dalam blog chedet.cc hari ini.
Dr Mahathir berkata, kesempatan diambil pembangkang apabila menggunakan isu tersebut untuk meraih undi daripada kaum Cina pada pilihan raya tahun lalu.
"Slogan 'Ini Kali lah' yang digunakan sebagai isyarat kuasa politik boleh dirampas daripada BN dan pembangkang boleh membentuk kerajaan.
"Kerajaan pembangkang ini akan mengabaikan prinsip perkongsian," kata Dr Mahathir.
Menurutnya, ramai bukan Melayu yang menyokong BN sebelum ini terpedaya dengan helah pembangkang tersebut.
"Ramai penyokong bukan Melayu parti komponen BN yakin bahawa dengan menarik balik sokongan mereka, BN akan tewas, begitu juga idea perkongsian kuasa politik dan ekonomi antara kaum," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir menyalahkan liberalisasi dan kerajaan BN yang lemah sebagai punca konflik antara kaum semakin hangat.
"Mengambil kesempatan liberalisasi dan kerajaan BN yang lemah, konflik antara kaum semakin tegang.
"Keadaan di Malaysia tidak setegang ini sebelumnya," kata Dr Mahathir lagi, sambil menggesa semua masyarakat di Malaysia membuang pemikiran konsep dominasi kaum supaya dapat hidup tanpa sengketa.
"Rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina dan India atau penduduk asal Sabah dan Sarawak mestilah buang konsep dominasi kaum daripada pemikiran.
"Negara ini perlulah dikongsi dan dikongsi secara adil semua kaum," katanya.
BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak buat kali pertama dalam sejarah hilang undi popular pada pilihan raya ke-13 tahun lalu, dan pengundi masyarakat Cina telah disalahkan oleh pemimpin Umno sebagai punca utama prestasi buruk tersebut.
Najib sendiri, dalam ucapan selepas pengumuman keputusan pilihan raya, telah menggunakan istilah “tsunami Cina” sebagai punca gagal memperoleh majoriti dua pertiga, dan cuma memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen.
0 comments:
Post a Comment