Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai pilihan selain mengambil pendirian tegas dalam kemelut di antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua PKR negeri, Mohamed Azmin Ali bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah.
Sumber memberitahu, Anwar mengambil pendirian tepat dalam pergelutan antara Azmin yang juga timbalan presiden PKR dan merupakan orang kanannya sejak sekian lama dan Abdul Khalid yang lebih popular sejak dilantik sebagai menteri besar pada 2008 lagi.
Pertembungan antara kedua-dua ahli politik PKR timbul semula selepas Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai menteri besar untuk penggal kedua dan mewujudkan perselisihan pendapat dalam banyak perkara, daripada pengumuman bajet negeri sehingga isu kenaikan gaji yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Terbaru, Azmin disingkirkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat negeri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Ketika Anwar cuba meredakan perpecahan kedua-dua orang pentingnya, pandangan pemimpin utama PKR tersebut banyak bertentangan dengan Abdul Khalid dan kerajaan negeri, sekali gus menimbulkan spekulasi wujud pertembungan antara beliau dan menteri besar tersebut.
Anwar secara jelas menyatakan sudah bosan dengan Abdul Khalid semasa mesyuarat pimpinan pusat PKR minggu lalu.
Abdul Khalid tidak mempunyai sebarang kedudukan dalam parti tetapi hanya mempunyai peranan dalam biro politik.
Sumber berkata, Anwar membuat keputusan tidak menyebelahi Abdul Khalid lagi semasa mesyuarat yang hangat berlangsung untuk membincangkan pemecatannya sebagai menteri besar.
Difahamkan, Anwar menyatakan rasa tidak puas hatinya ke atas Abdul Khalid dalam mesyuarat tersebut kerana sering tidak merujuk kepada pemimpin tertinggi parti dalam membuat keputusan sehingga menimbulkan kekecewaan di kalangan pemimpin PKR, bukan hanya di kem Azmin sahaja.
"Saya tidak dalam kedudukan untuk mempertahankan MB lagi, tiada perbincangan, tidak peduli, dia kira negeri dia, dia yang kawal, tiada siapa tahu pendiriannya, tiada sesiapa dirujuk, tiada sesiapa tahu kenyataannya, jadi kita ada masalah," sumber memetik Anwar sebagai berkata dalam mesyuarat tersebut.
"Soal air tak ada perbincangan, saya tak tahu, saya baca surat khabar.
"YB Rodziah dalam meeting cuba explain (isu air), itu saja.
"Soal Allah saya tak tahu, sampai hari ini, tidak ada apa-apa," kata Anwar dipetik berkata dalam mesyuarat itu.
Cubaan untuk mendapatkan pengesahan Anwar berhubung komennya itu tidak berjaya.
Beberapa pemimpin tertinggi PKR yang hadir dalam mesyuarat yang berlangsung hangat itu juga senada dengan Anwar, malah ada menyokong penuh cadangan penyingkiran Abdul Khalid daripada jawatan menteri besar Selangor.
"Jadi saya pada malam ini seribu seratus peratus menyokong beliau dipecat," kata salah seorang pemimpin tertinggi PKR yang bangkit menyatakan rasa tidak puas hati ke atas Abdul Khalid semasa mesyuarat tersebut.
Perbincangan tentang kedudukan dan langkah seterusnya untuk menyingkirkan Abdul Khalid dalam mesyuarat berlangsung hampir sejam lebih, dengan kebanyakan pemimpin PKR yang hadir melahirkan rasa tidak puas hati ke atas menteri besar Selangor itu.
"Kalau betul Tan Sri Khalid ini tidak boleh lagi memimpin negeri Selangor, sewajarnya kita buat satu keputusan biarlah dia berhenti ataupun kita berhentikan dia.
"Dan kita carilah jalan supaya kita boleh pilih seorang menteri besar yang boleh menunjukkan bahawa parti kita adalah parti reformasi," kata salah seorang pemimpin tertinggi PKR dalam rakaman mesyuarat itu.
Anwar bagaimanapun semasa mesyuarat tersebut berkata, keputusan mengenai kedudukan Abdul Khalid juga mesti dibincang dan dipersetujui bersama rakan Pakatan Rakyat (PR).
"Keputusan juga melibatkan rakan dalam parti , saya tidak fikir lain... soalnya sekarang keputusan Pakatan Rakyat (PR).
"Dia bukan musuh, dia bukan Umno, dia orang Keadilan dan dia juga harungi banyak masalah macam kita juga... dan dia juga diketepikan kerana dia sokong kita, itu semua kena ambil kira," katanya.
Anwar juga menyatakan kebimbangan kandungan mesyuarat tersebut akan dibocorkan kepada media.
"Cuma sekarang ini kita kena bincang, sebab kalau bocor umpamanya majlis pimpinan nak guling, ia bukan suatu yang baik," kata sumber memetik kebimbangan Anwar sekiranya maklumat tentang mesyuarat tersebut bocor.
Abdul Khalid sebelum ini mendakwa usul pemecatan beliau dibuat oleh kumpulan timbalan presiden PKR.
Difahamkan, rakan komponen dalam PR juga meluahkan kebimbangan terhadap kemelut terbuka tersebut memandangkan Abdul Khalid yang lebih popular di kalangan penjawat awam dan orang ramai kerana ketegasan dan pentadbirannya yang bersih.
"Anwar perlu membuat keputusan segera kerana sebarang perubahan akan memberi kesan kepada sokongan terhadap Pakatan dalam pilihan raya depan.
"Kedua-dua Azmin dan Khalid perlu lihat perkara ini kerana ia beri kesan buruk kepada kami," kata seorang pemimpin PR.
0 comments:
Post a Comment