Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada puak ekstremis agama dan kaum, kata Lim Guan Eng.
Menurut ketua menteri Pulau Pinang itu, kerajaan negeri akan menggunakan “senjata keadilan sosial dan pembangunan berterusan” bagi menentang keganasan dan kebencian yang dibawa masuk ke negeri tersebut.
“Sewaktu puak ekstremis mengadakan kekacauan berterusan untuk membuat kekacauan di Pulau Pinang, 1.6 juta warganya mesti mengukuhkan komitmen sejak 200 tahun lalu bagi melindungi dan menghormati kepelbagaian budaya, kaum dan agama dengan menolak kekejaman dan kebencian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebuah gereja, Church of the Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang diserang bom buatan sendiri awal pagi ini selepas kain rentang kontroversi kalimah Allah digantung di luar gereja tersebut pada Ahad, kata polis hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang SDCP Datuk Abdul Rahim berkata, dua bom buatan sendiri, Molotov cocktails, telah dibaling ke kawasan lapang gereja kira-kira jam 1.30 pagi hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow menyifatkan cubaan mengebom gereja sebagai perbuatan “pengecut”.
“Ia satu perbuatan pengecut oleh pihak tidak bertanggungjawab. Mereka tidak layak digelar warganegara.
“Rakyat Malaysia cintakan keamanan dan keharmonian. Kami menggesa pihak polis bertindak pantas membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan.
“Parti politik perlu bertindak serta-merta menghalang ahlinya dari mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan ketegangan kaum,” katanya dalam satu pesanan ringkas.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang turut mengecam tindakan pihak yang cuba menimbulkan keresahan dan menganggu-gugat keharmonian kaum di negeri Pulau Pinang.
Ketuanya, Dr Afif Bahardin berkata tindakan menaikkan kain rentang hasutan dan melemparkan “Molotov cocktail” ke gereja di Pulau Pinang adalah satu perbuatan keji dan wajar dikecam semua pihak.
“AMK Pulau Pinang menggesa PDRM dan pihak keselamatan untuk mengambil tindakan tegas ke atas pihak tidak bertanggungjawab ini. Tindakan mereka ini bakal menimbulkan huru-hara dan keadaan tidak aman di Pulau Pinang.
“Kami juga berharap setiap lapisan masyarakat untuk terus kekal tenang dan sama-sama menyeru kepada toleransi dan hormat di antara pelbagai kaum dan agama,” katanya.
0 comments:
Post a Comment