RSS
Facebook
Twitter

17 January 2014

DAP menggesa Pengarah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Nan Ya di Kota Tinggi, Johor memohon maaf kepada seorang guru perempuan mualaf atas arahannya membuka tudung seperti dilapor media baru-baru ini.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching berkata, setiap orang mempunyai hak mengamalkan kepercayaan masing-masing dan pengarah sekolah tersebut perlu bertanggungjawab atas tutur katanya sekaligus mengemukakan permohonan maaf.
“Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno Mohd Rafiq Naizamohideen tidak wajar menyarankan kepada Kementerian Pendidikan agar memecat guru besar sekolah tersebut.
“Mengapa guru besar perlu bertanggungjawab dan dipersalahkan atas kenyataan pengarahnya?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penduduk Kampung Teluk Sengat di Kota Tinggi yang marah menggantung beberapa kain rentang dan menampal puluhan poster bagi mencemuh tindakan seorang ahli jemaah pengurus sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang didakwa meminta seorang guru Cina Muslim membuka tudung.
Wanita itu turut diancam keselamatannya jika enggan berbuat demikian.
Berikutan ugutan itu, guru tersebut membuat laporan di Balai Polis Teluk Sengat dan berdasarkan maklumat terbaru, guru berkenaan ditukarkan serta-merta ke sebuah sekolah di bandar ini.
Semalam, media melaporkan Mohd Rafiq menggesa pihak yang mengugut keselamatan seorang guru beragama Islam serta mendesaknya membuka tudung supaya meminta maaf kepada semua umat Islam dalam masa 24 jam.
Katanya jika perkara itu tidak dilakukan, Kementerian Pendidikan wajar memecat guru besar sekolah tersebut.
"Kita beri 24 jam kepada pihak terlibat iaitu (pegawai badan pengurus sekolah) supaya tampil meminta maaf kepada semua umat Islam. Kalau tidak, kita tuntut Menteri Pendidikan Datuk Seri Idris Jusoh ataupun Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil tindakan tegas dan memecat pihak yang terbabit.
"Kita minta minta guru besar diambil tindakan dan dipecat kerana dia tak layak jadi guru besar jika tidak faham sensitiviti umat Islam," katanya dalam satu sidang media semalam.
Teo meminta Pemuda Umno tidak memanjangkan isu tersebut bagi mengelak lebih banyak insiden menghina agama Islam berulang.
Katanya, kenyataan Mohd Rafiq yang melabelkan pengarang akhbar mingguan Herald, Lawrence Andrew sebagai menghina Islam adalah tidak tepat kerana ramai di kalangan umat Islam tidak berpandangan sedemikian.
“Andrew tidak wajar dilabel sebagai menghina Islam kerana ramai di kalangan umat Islam yang berkongsi pandangan menyokong perhimpunan solidariti di sebuah gereja di Klang tempoh hari.
“Pada pandangan Mohd Rafiq, adakah kumpulan yang tidak sependapat dengannya menghina Islam?” katanya.
Ahli Parlimen Kulai itu berkata keharmonian agama merupakan asas penting  bagi sesebuah negara selain pemimpin bertanggungjawab yang menggalakkan dialog dan pendidikan bagi menghormati dan bertolak-ansur terhadap kepercayaan yang berbeza-beza. 

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About