RSS
Facebook
Twitter

18 March 2014

Terowong ke KL Sentral RM340 juta,MRT Corp

walaupun mahal baik untuk rakyat

MRT Corp menggesa rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) memahami rasional di sebalik pembinaan terowong pejalan kaki yang dianggarkan berharga RM340 juta menghubungkan stesennya di Muzium Negara ke KL Sentral.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata kos terowong itu yang dilihat terlalu tinggi berikutan kontraktor berpengalaman perlu dilantik selain ia perlu dibuat secara berperingkat kerana membabitkan kawasan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

"Kita buat ini demi yang terbaik untuk rakyat. Kita mesti guna pakai projek yang dibuat di luar negara. Kita dapat lihat di Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan London bagaimana mereka lakukan. Tetapi di negeri sendiri kita tidak lakukan.

"Kos asal yang dijangka RM340 juta dibentangkan kepada exco MRT. Mereka yang mendakwa kos asalnya RM800 juta itu saya tidak tahu daripada mana mereka mendapat sumber.

Sebuah badan pemantau tidak rasmi projek tersebut, MRT Watch dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa terowong pengguna MRT di antara stesen KL Sentral dan Stesen Muzium Negara bernilai RM800 juta tetapi dakwaan itu ditolak kerajaan.

Katanya, projek yang sama dan lebih berisiko dikemukakan kembali kepada kerajaan dengan nilai RM350 juta dan Gamuda memanggil tender untuk memulakan projek tersebut tetapi pada masa yang sama kerajaan masih belum meluluskan projek ini.

Azhar berkata hanya pada tahun lalu Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mencadangkan kepada kerajaan untuk membina jejantas menghubungkan laluan itu dengan kos jauh lebih murah, iaitu RM50 juta.

Katanya, Kementerian Kewangan memberi tempoh sebulan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi melantik jururunding bagi menilai projek yang sesuai untuk dipilih.

"Apabila mereka datang, kami ini nampak bodoh tetapi ini untuk rakyat, biarkan kerajaan membuat keputusan. Kami tunggu keputusan itu. Cara kasar memang jejantas bagus kerana RM50 juta sahaja tetapi adakah ini baik untuk rakyat, lebih efisyen, atau hanya kerja belum selesai? Ini yang saya risaukan.

"Jika saya bersuara, mungkin ada yang mendakwa saya mempunyai kepentingan peribadi. Apa yang menyedihkan tiada siapa pun yang melihat kepentingan rakyat. Kami mencadangkan ini bagi memastikan rakyat mendapat faedah yang maksimum,” katanya.

Azhar berkata segala keputusan diserahkan kepada kerajaan kerana sekiranya kerajaan menolak terowong bawah tanah RM340 juta berkenaan, ia memberikan lebih penjimatan wang kepada syarikat korporat itu.

Katanya, apa yang perlu dipertimbangkan adalah imej KL Sentral di mata pengunjung asing selepas menjadi hab utama pengangkutan di ibu kota, kerana mereka adalah golongan yang membuat perbandingan laluan itu dengan negara lain yang dilawatinya.

"KL Sentral ini hab utama. Apabila pelawat asing tengok kelemahan laluan itu, kita berasa malu kerana mereka ini berjalan dari satu negara ke negara lain. Mereka boleh bandingkan dan kita pun perlu banding. Dalam skim keretapi, MRT Corp memang dipertanggungjawabkan membina stesen, terowong dan sambungan ke KL Sentral.

"Katalah kerajaan bersetuju dengan projek RM50 juta, saya seronok kerana saya jimat RM340 juta. Kita pun tidak susah jika jejantas RM50 juta itu bagus untuk kerajaan kerana dapat menjimatkan wang, tetapi adakah ia baik untuk rakyat?” katanya.

Azhar berkata sekiranya kerajaan memilih jejantas yang dirancang MRCB, maka syarikat itu memulangkan semula wang pembelian tanah kepada MRT Corp.

Katanya, ekoran daripada penangguhan pihak SPAD melantik jururunding, MRT Corp terpaksa membekukan lima tender syarikat tempatan yang berhasrat untuk membina terowong pejalan kaki itu.

"MRCB sudah menerima wang pampasan pengambilan tanah sebanyak RM60 juta. Jika mereka membuat jejantas, kami akan meminta RM60 juta berkenaan.

"Benda ini sudah dirancang berbulan-bulan. Sebanyak lima tender diterima daripada kontraktor tempatan. Tender yang diterima dibekukan buat sementara dan tiada lantikan. Saya risau juga kerana pihak yang menghantar tender mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM1 juta,” katanya.

MRT Watch juga awal bulan ini mendakwa sebanyak 30 hingga 40 tiang konkrit yang menyokong platform KL Sentral akan dipotong, memberi kesan terhadap kekukuhan struktur bangunan di atasnya.
“Siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku malapetaka kejuruteraan? Siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap keselamatan dan nyawa 150,000 orang yang bekerja, tinggal dan pengguna LRT, MRT, Komuter dan KTM?

“Ini adalah soal keselamatan dan kerajaan tidak boleh berkompromi mengenai isu ini sama sekali walaupun didesak syarikat kroni, Gamuda Berhad,” kata badan pemerhati projek MRT itu.

Azhar sama sekali menolak dakwaan badan pemantau berkenaan mendakwa MRT Corp mempunyai kumpulan pengurusan risiko yang akan menilai setiap projek supaya tidak menggugat keselamatan awam.

Katanya, apa yang dicadangkan hanyalah enam tiang yang akan dialihkan di bawah KL Sentral dan segala kerja pembinaan perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa.

"Kami cuma alihkan (underpinning) enam tiang sahaja. Kami bukan gangster. Sebelum mulakan apa-apa kerja kami perlu meminta kebenaran seperti daripada Jabatan Bomba dan jabatan lain.

"Jika kerja yang kami buat membahayakan, tak mungkin diberikan kebenaran. Tak munasabah. Kami mempunyai kumpuan pengurusan risiko yang akan mengkaji semua kemungkinan yang diambil kira seperti risiko projek dan bukan projek,” katanya.

Azhar berkata apa yang menjadi tumpuan MRT kini adalah memastikan hakisan tanah tidak berlaku di kawasan Muzium Negara meskipun kerja pembinaan sedang giat dijalankan.

"Apa yang kita bimbang tentang Muzium Negara adalah pergerakan tanah. Setiap hari kita buat pengawasan supaya tiada masalah kepada muzium. Alhamdulillah setakat ini masih belum berlaku. Kalau ada pun mungkin 1mm,” katanya.

Ketika diminta pandangannya berhubung pembinaan MRT sedikit sebanyak merencatkan imej negara sewaktu Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM2014), Azhar berkata perkara itu tidak dapat dielakkan kerana MRT tidak dapat disiapkan dalam jangka masa singkat.
Katanya, apa yang boleh dilakukan pihak MRT adalah mengurangkan impak pembinaan dan memastikan kerja pembinaan dapat dijalankan dengan cara lebih sistematik.

"Ia satu perkara yang tidak dapat dielakkan. MRT ini satu keperluan tetapi ia memakan masa sehingga enam tahun untuk disiapkan. Jika tidak mulakan sekarang, bila kita hendak buat?

"Apabila datangnya TMM2014, kami cuba minimumkan kesan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pun sudah memanggil mesyuarat agar MRT dapat dikawal dengan tidak menyukarkan orang ramai untuk bergerak,” katanya.

Dalam pertemuan itu juga, Azhar mengulas dakwaan sesetengah pihak yang rimas stesyen LRT dibina terlalu dekat dengan kawasan perumahan.

Katanya, pemilik hartanah jangan hanya melihat kesan buruknya sahaja tetapi perlu melihat dengan kaca mata yang lebih luas daripada segi harga hartanah yang diramalkan naik.

"Lagi dekat lagi bagus. Mereka ni perkara yang menguntungkan mereka, mereka tidak cakap. Harga rumah mereka naik dua kali ganda.

"Dalam dunia ni terbukti kalau rumah kita dekat dengan stesen dalam jarak 500 meter, harga rumah memang naik. Sewa atau harga rumah,” katanya. – 19 Mac, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About