RSS
Facebook
Twitter

02 March 2014

Selama 16 tahun, Johari (bukan nama sebenar) meringkuk di dalam penjara sebagai banduan reman dan sementara menunggu hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya, atas tuduhan mengedar dadah di Malaysia.

Akhirnya, pada Selasa lalu (25 Februari), Mahkamah Rayuan membebaskannya selepas melalui proses perundangan panjang dan penuh berliku.

Peguamnya, Karpal Singh, berkata Johari kini dianggap orang yang paling lama dipenjarakan di Malaysia sebelum disabit kesalahan.

Pada 4 Januari, 1998, Johari dan seorang lagi ditangkap polis di Gelugor, Pulau Pinang, kerana memiliki 35kg ganja, dan sejak itu dia direman kerana tuduhan ke atasnya tidak boleh diberikan jaminan.

Seorang lagi yang ditangkap bersamanya didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada Mei 2000.

Johari dijatuhkan hukuman mati sebanyak dua kali, pertama pada Mei 2004 dan kedua pada Januari 2011, oleh Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang.

Karpal berkata, selepas disabit kesalahan, Johari ditempatkan sebagai tahanan menunggu hukuman mati di antara 2004 dan 2010.

Hukuman ini diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2010, dan perbicaraan semula diarahkan.

Pada Januari 2010, sekali lagi, Johari dijatuhkan hukuman mati, tetapi minggu lalu, Mahkamah Rayuan membebaskannya atas alasan teknikal.

Karpal berkata, perbicaraan semula memerlukan anak guamnya dikenakan tuduhan di mahkamah majistret telebih dahulu sebelum perbicaraan tuduhan pengedaran dadah boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi.

“Mereka mengulangi semua prosedur dan membekalkan dokumen kepada si tertuduh seolah-olah Johari dihadapkan tuduhan baru," katanya.

Namun, katanya, pihak pendakwa memulakan perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Kini, Johari bebas, tetapi dia masih dihantui hari-harinya di penjara Perlis itu. Mana tidaknya, dia ditahan sebegitu lama.

"Mereka yang ditahan teruk menghadapi tekanan kerana menunggu hukuman mati. Ia mematahkan anda.

"Anda tidak akan keluar sebagai orang yang sama, walaupun didapati tidak bersalah atau diampunkan. Semuanya terlambat. Selagi belum kena, anda tidak akan tahu perasaan ini," kata lelaki berusia 41 tahun itu kepada The Malaysian Insider di Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Johari berkata, apa yang dilaluinya tidak boleh dibayangkan orang lain, dan dia kehilangan beberapa tahun daripada hayatnya, dikurung bersendirian di dalam sebuah bilik yang tiada kemudahan ketika berusaha untuk bebas daripada tuduhan yang membawa kepada hukuman mati mandatori.

"Tidak ada televisyen, tetapi ada masanya banduan diberi peluang baca akhbar. Teman saya hanyalah sebuah walkman yang dibelikan keluarga saya.

"Bila anggota keluarga menziarahi saya, kami diberikan masa 30 minit berbual, namun sentuhan fizikal dihalang oleh sebuah skrin. Ia tidak dibenarkan walaupun pada Hari Raya," katanya.

Johari kelihatan masih diselubungi pengalamannya di penjara, seolah-olah masih belum reda daripada kejutan kesan apa yang berlaku.

Tetapi beliau dengan tegas dan jelas mahu hukuman mati dimansuhkan, kerana setiap insan perlu diberi peluang kedua.

Dia masih ingat ketakutannya di dalam penjara, dan bagaimana beberapa rakan banduan akan dibawa keluar, tidak kembali lagi, dan hanya mampu berdoa.

"Tidak ada pengampunan jika dijatuhkan hukuman mati. Janganlah lakukannya. Manusia tidak boleh membuat undang-undang untuk membunuh manusia lain," katanya, dan menambah bahawa Lembaga Pengampunan lembap dalam memberikan satu lagi peluang hidup kepada banduan hukuman mati.

Adik Johari, yang hanya mahu dikenali sebagai Johan, 39, berkata ibu bapa mereka amat terkesan dengan apa yang berlaku ke atas anak sulung mereka, dan beberapa kali menyerah kalah.

Mereka tidak arif tentang undang-undang, dan hanya bergantung kepada Karpal dan anaknya Jagdeep Singh Deo, sepanjang perbicaraan. Jagdeep, kini Exco kerajaan Pulau Pinang dan sudah berhenti menjadi peguam.

"Kami amat gembira Johari kembali ke pangkuan kami. Jika semua ini tidak berlaku, dia mungkin sudah berkahwin dan sudah ada dua anak.

"Keluarga kami mengharungi kesusahan ini bersama. Kami perlu menghadapi pandangan masyarakat. Manusia tidak cepat memaafkan atau memahami bila dapat tahu ada penjenayah di kalangan keluarga anda," kata Johan.

Mengenai masa depan Johari, Johan berkata, abangnya kini perlu menyesuaikan diri dengan dunia luar yang banyak berubah sepanjang 16 tahun.

"Saya akan mengambil selangkah demi selangkah. Mungkin saya boleh mulakan perniagaan. Dengan usia saya dan rekod saya yang dicemari, saya tidak fikir ada yang mahu ambil saya bekerja," kata Johari.

Karpal berkata, Johari mungkin menempa sejarah sebagai orang yang paling lama dipenjara sebelum dibebaskan daripada tuduhan.

Beliau terkilan dengan perjalanan kes Johari - ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan untuk perbicaraan semula, dan dijatuhkan hukuman mati untuk kali kedua.

"Satu perbicaraan sudah memadai. Saya juga hairan," kata Karpal, yang menulis kepada peguam negara untuk meminda tuduhan ke atas Johari kepada tuduhan memiliki dadah, yang membawa kepada hukuman penjara, namun permohonannya ditolak.

Karpal, yang berjuang untuk memansuhkan hukuman mati, berkata hakim boleh menggunakan budi bicara di dalam kes tertentu.

"Hakim juga mendapat tekanan kerana hukuman mati mandatori," katanya, dan mencadangkan mahkamah diberi kuasa menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman mati atau tempoh penjara berdasarkan fakta kes. - 3 Mac, 2014.

0 comments:

Post a Comment

  • Blogger news

  • Blogroll

  • About