Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan Malaysia merupakan sarang pengganas seperti didakwa susulan kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370 semenjak 8 Mac lalu.
Hishammuddin berkata, misteri kehilangan MH370 tidak mencerminkan Malaysia sebagai sarang kepada pengganas.
"Untuk nak mengaitkan Malaysia sebagai sarang pengganas, saya menafikan sekeras-kerasnya," kata Hishammuddin pada sidang media harian di Hotel Sama-Sama, Sepang petang ini.
Sebaik kehilangan pesawat MH370, pengkritik dan penganalisis membayangkan pelbagai kemungkinan antaranya rampasan pesawat.
Hishammuddin bagaimanapun berkata tiada bukti jelas untuk mengaitkan Malaysia dengan kegiatan aktiviti pengganas.
"Dakwaan Malaysia sarang pengganas, ia tidak jelas dan tidak ada asas langsung untuk kaitkan dengan apa yang kita lalui hari ini," katanya.
Sebelum itu, Hishammuddin dalam sidang media menjelaskan kawasan operasi mencari diperluaskan sehingga 2.24 juta batu nautika persegi meliputi koridor utara dan selatan.
Teori pesawat Boeing 777-200ER tersebut dirampas mendapat tumpuan media dan penganalisis penerbangan selepas bukti mendapati ia menukar laluan asal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media khasnya petang Sabtu lalu mengatakan siasatan kini beralih dan tertumpu kepada anak kapal pesawat berdasarkan petunjuk baru.
Menafikan bahawa terdapat unsur rampasan, Najib berkata, pesawat MH370 berpatah balik ke arah barat selaras dengan tindakan yang disengajakan oleh seseorang dalam kapal terbang itu.
MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal hilang daripada radar selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dalam perjalanan ke Beijing. – 18 Mac, 2014.
0 comments:
Post a Comment