RSS
Facebook
Twitter

13 February 2014

Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah didakwa sengaja menyembunyikan fakta daripada pengetahuan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, kata bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.
Mat Zain dalam satu kenyataan berkata, pendakwa raya dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu gagal memaklumkan kepada mahkamah bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merekodkan "keterangan yang panjang" daripada beliau berkenaan kandungan Akuan Bersumpah (SD) pada 5 Disember lalu.
Malah, hujah Shafee berkenaan pemalsuan kad pengenalan Mat Zain dalam SD berkenaan turut direkodkan dalam keterangan dan dokumen lain kepada SPRM.
"Saya mempunyai dokumen untuk membuktikan perkara ini.
"Tiada kesilapan lain dalam SD berkaitan nama penuh saya atau alamat rumah atau maklumat peribadi lain selepas pembetulan dilakukan.
"Kesalahan itu sengaja diperbesar-besarkan oleh Shafee selepas beliau mendapati dirinya memberikan keterangan palsu dalam afidavitnya yang turut tidak dimaklumkan kepada mahkamah," kata Mat Zain.
SD Mat Zin ditolak sebagai bahan bukti di mahkamah atas alasan nombor kad pengenalan yang mengandungi kesilapan termasuk alamat yang dihitamkan atas alasan keselamatan beliau.
Dalam SD 31 muka surat itu, Mat Zain turut mendakwa Ketua Hakim Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail adalah punca Pulau Batu Puteh jatuh ke tangan Singapura.
Shafee juga, katanya, mengetahui perkara itu ketika perbicaraan di Mahkamah Dunia (ICJ) pada 2007.
Mat Zain berkata, beliau akan menulis kepada Gani sekali lagi untuk mendesak peguam negara itu menjalankan siasatan terhadap Shafee yang memberikan keterangan palsu dalam afidavitnya. - 14 Februari, 2014.

Peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang diusahakan sepenuhnya oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan tidak melibatkan pihak lain sebagaimana dilaporkan oleh sesetengah media sebelum ini, kata Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha agung PKR itu menafikan laporan sesetengah media yang mendakwa Timbalan Presiden Mohamed, Azmin Ali yang menjadi punca kepada peletakan jawatan Lee yang dikritik ramai pihak.
"110% kredit perlu diberikan kepada Rafizi berikutan peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh.
“Kerana dia yang usahakannya daripada memujuk, menyediakan surat peletakan jawatan sehinggalah membawanya bertemu Hannah Yeoh, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor," kata Saifudin.
Sebelum ini media melaporkan kononnya peletakan jawatan Lee diuruskan oleh Azmin bagi memintas cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar timbalan presiden PKR itu mengosongkan kerusinya di DUN Bukit Antarabangsa bagi membolehkan Datuk Sri Anwar Ibrahim bertanding.
"Itu semua khayalan pihak tertentu sahaja," kata Saifudin yang mendakwa Azmin tidak terlibat dengan peletakan jawatan Adun Kajang itu.
Lee meletakkan jawatannya pada 27 Januari lalu selepas menyerahkan surat peletakan kepada Speaker DUN, Yeoh.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengumumkan 11 Mac sebagai hari penamaan calon manakala Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan diadakan pada 23 Mac jika ada pertandingan.
Anwar diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) bagi PRK Kajang oleh Abdul Khalid sendiri selaku menteri besar Selangor.
Abdul Khalid sudah dilantik sebagai pengarah pilihan raya itu manakala Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin sebagai timbalannya.
"Sehingga kini jentera sudah dibentuk dengan baik dan rakan daripada PAS dan DAP juga membantu menggerakkan jentera pilihan raya di situ," katanya.
Lee, 42, merupakan seorang peguam dan bekas ahli parti Gerakan selama 10 tahun.
Dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), Lee mendapat 19,571 undi, berbanding calon BN, Lee Ban Seng yang mendapat 12,747 undi.
Komposisi pengundi di Kajang membentuk 49% Melayu, 40% Cina, 10% India dan 0.91% lain-lain. – 14 Februari, 2014.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini membidas tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkempen awal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Beliau menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang itu sebagai bukti yang parti pembangkang tidak menghormati peraturan pilihan raya dan undang-undang negara yang seharusnya dipatuhi semua pihak.
"Saya amat kesal dengan tindakan Anwar yang sudah berkempen di Kajang walaupun (pada masa itu) SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) masih belum memutuskan tarikh pilihan raya kecil (PRK)," katanya ketika mengulas tindakan Anwar yang sudah mula berkempen bagi DUN Kajang walaupun pemilihan hanya akan berlangsung bulan depan.
Shafie berkata demikian selepas melancarkan program Komuniti Sihat, Perkasa Negara (Kospen) peringkat kebangsaan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam di Sekolah Kebangsaan Kuala Paya, Buloh Kasap dekat Segamat.
Ketika ditanya mengenai persiapan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya kecil itu, beliau berkata BN sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi PRK seumpama itu.
Mengulas mengenai pelantikan Ketua Menteri Sarawak yang baharu, Tan Sri Adenan Satem, Shafie berkata pengganti Tan Sri Abdul Taib Mahmud itu mampu menggalas tanggungjawab itu sekali gus meneruskan kesinambungan kepimpinan BN di negeri itu.
"Beliau mempunyai pengalaman luas di peringkat kebangsaan dan pernah menjadi Menteri Kerajaan Pusat sebelum ini yang saya fikir menjadi satu daripada kriteria pemilihannya sebagai pengganti Abdul Taib," kata beliau.
Terdahulu dalam ucapannya, Shafie berkata program Kospen boleh membantu mengawal penyakit bukan berjangkit malah dapat mengurangkan beban kerajaan menyediakan peruntukan bagi rawatan kepada penghidap penyakit berkenaan.
Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata pihaknya telah mengarahkan pemaju masyarakat Kemas untuk membantu menjayakan program itu yang bertujuan meningkatkan tahap kesihatan penduduk di luar bandar. -13 Februari, 2014.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sedaya-upaya melengahkan kes rayuan rayuan Liwat II kerana takut dan mengetahui kesalahan yang dilakukannya, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, taktik itu termasuk usaha menyingkir peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwa raya dan permohonan untuk memanggil semula pegawai penyiasat, Jude Blacious Pereira.
"Anwar mahu lewatkan selama mungkin sebab itu dia bawa usul untuk singkir Shafee, kerana dia takut dibicara sebab dia buat salah.
"Tetapi saya juga percaya dia takut pada Shafee, sebab Shafee menang banyak kes yang rumit. Sebab itu Anwar gentar jugalah," kata Dr Mahathir yang dipetik dalam Sinar Harian hari ini.
Pada 1998, Anwar dipecat oleh bekas majikannya, Dr Mahathir atas tuduhan hampir sama yang dihadapinya ketika ini.
Selasa lalu, Mahkamah Rayuan sekali lagi menolak permohonan Anwar untuk mengenepikan Shafee atas alasan perakuan bersumpah (SD) bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis, Datuk Mat Zain Ibrahim tidak boleh diterima.
Anwar juga mengemukakan permohonan untuk memanggil semula Pereira.
Sementara itu, Anwar juga dijangka bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Kajang pada 23 Mac depan.
Spekulasi mengatakan beliau juga bakal mengambil alih jawatan menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun, Dr Mahathir membidas langkah tersebut dan menyifatkan PAS mempunyai calon yang lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut.
Beliau berkata, PAS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih banyak daripada PKR, iaitu 15 kerusi.
"Pas berhak untuk kerusi itu (menteri besar). Tidak bolelah dikuasai satu parti sahaja bukan macam BN, jumlah terbesar Umno sebab itu pemimpin Umno diangkat jadi perdana menteri.
"Tetapi dalam Selangor bukan PKR punya kuasa terbesar, jadi tidak patutlah mereka bolot jawatan itu untuk selama-lamanya," katanya.
Dr Mahathir berkata, Anwar tidak layak dilantik sebagai menteri besar dan bukan calon yang berhak untuk jadi perdana menteri.
"Anwar tiada hak untuk meletakkan syarat itu kepada parti di bawah PR," katanya.
Mengenai calon yang sepatutnya diletak Barisan Nasional (BN) pada PRK Kajang, Dr Mahathir berkata, tidak kisah siapa yang menjadi calon tetapi individu yang dipilih mestilah mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
"Saya berpendapat kerajaan PR tidak mungkin mampu beri khidmat yang baik pada rakyat.
"Oleh itu rakyat perlu utamakan nasib mereka sendiri, kalau mereka salah pilih, dengan hanya kerana marah dan percaya dengan tuduhan palsu terhadap kerajaan dan pilih parti lawan saya rasa ini rugi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir juga memberikan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sarawak baru,  Tan Sri Adenan Satem yang dilantik untuk menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan. - 13 Februari, 2014.

12 February 2014

Khalid Ibrahim hutang USD18 juta Bank Islam

Dalam satu langkah yang mengejutkan, Bank Islam Malaysia yang sebelum ini beria-ia membawa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ke mahkamah kerana hutang USD18 juta (RM66.67 juta) kini bersedia untuk menyelesaikan perkara ini dengan amaun lebih rendah.

Mahkamah Persekutuan mengadakan pendengaran sampingan di antara kedua-dua pihak semalam selepas diberitahu tentang rundingan penyelesaian yang sedang berjalan.
Kemungkinan penyelesaian itu mengejutkan ramai pihak termasuk pemimpin tertinggi PKR dan peguam Abdul Khalid. Salah seorang peguam mengatakan beliau mendengar penyelesaian sedang berjalan.
Seorang pemimpin kanan PKR mengesahkan Abdul Khalid memberitahunya perjanjian sedang berjalan untuk hutang ditanggung semasa beliau menjadi ketua pegawai eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd bagi pembelian 20% saham syarikat.
Bank Islam Malaysia membawa perkara itu ke mahkamah pada 2007, setahun sebelum Abdul Khalid dinamakan sebagai menteri besar Selangor.
Bank Islam Malaysia dimiliki 100% oleh BIMB Holdings Bhd (BHB), di mana pemegang saham majoritinya merupakan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) yang menguasai 54%. Pemegang saham lain adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd dan Amanah Saham Bumiputera.
Mahkamah Rayuan memutuskan pada Mac 2010 Abdul Khalid tidak perlu membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam selepas mengenepikan rumusan penghakiman bank tersebut terhadapnya kerana gagal menyelesaikan kemudahan pinjaman Islam itu.
Pada 21 Ogos, 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bank untuk untuk mengemukakan penghakiman terus terhadap Abdul Khalid dan memerintahkannya membayar RM66.67 juta.
Tetapi Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zainun Ali, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad secara sebulat suara membenarkan rayuan Abdul Khalid dengan kos.
Mereka juga mengembalikan semula kes ini ke Mahkamah Tinggi selepas memutuskan isu dalam kes ini memerlukan perbicaraan penuh.
Semasa mengenepikan penghakiman terus itu, Zainun berkata, mahkamah berpendapat di bawah prinsip perbankan Islam, pendapat daripada pakar undang-undang Islam mengenai peraturan Islam tentang kesahan transaksi, adalah diperlukan.
Terdapat dua saman difailkan berhubung kes itu, satu yang difailkan oleh Abdul Khalid terhadap bank dan yang kedua saman balas bank terhadap menteri besar itu.
Dalam samannya terhadap BIMB, Abdul Khalid menuntut ganti rugi dan pengisytiharan, dengan mendakwa terdapat penjualan yang salah saham-saham dalam Guthrie di bawah kemudahan pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA).
Abdul Khalid, yang ketika itu ketua pegawai eksekutif Guhtrie Berhad, mendakwa wujud kontrak kolateral antara beliau dan BIMB bersampingan dengan perjanjian kemudahan Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) bertarikh 30 April, 2001.
Beliau mahu satu perisytiharaan kemudahan BBA itu secara berasingan dan tanpa kontrak kolateral itu adalah batal dan tidak sah dan BIMB melanggar kontrak kolateral dan atau kemudahan BBA.
Dalam saman balas terhadap Abdul Khalid, BIMB mendakwa berlaku pelanggaran perjanjian Al-Bai Bithaman Ajil ekoran kegagalan beliau membayar balik pinjaman. – 13 Februari, 2014.

11 February 2014

Lee Chin Cheh kelihatan tenang orangnya, hampir tidak menyedari kesan dilakukannya mampu menggemparkan negara apabila beliau secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, dua minggu lalu.

Enggan menyahut cerita-cerita yang berputar di media, ahli korporat dan peguam pindah hak itu berkata, kehidupannya berjalan seperti biasa.
Pada ketika ini, kisah mengapa bekas Adun PKR penggal pertama itu meletak jawatan, menjadi cerita biasa di kalangan rakyat Malaysia.
Lee dan partinya mendakwa langkah itu dan keputusan menempatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerusi campuran berkenaan bertujuan mengukuhkan kemampuan pakatan pembangkang untuk berkhidmat kepada pengundi bandar di samping mempertahankan Selangor daripada diambil alih oleh Umno.
Sejak minggu lalu, bekas Adun berusia 43 tahun itu bersama Anwar berjumpa dengan masyarakat dan menjelaskan keputusannya, menekankan bahawa beliau tidak berdepan dengan sebarang permusuhan atau marah daripada pengundi.
Malahan, katanya, maklum balas yang diterima amat positif.
“Persoalan mengkhianat tidak timbul kerana saya bukan berhenti dan kemudian menyertai parti lain.
“Saya meletak jawatan demi parti, untuk Pakatan dan bagi calon yang lebih baik,” katanya dalam satu temubual di firma guamannya di Petaling Jaya.
Berkemeja belang biru dan putih serta berseluar panjang hitam, Lee menafikan dakwaan bahawa beliau berhenti kerana tidak mampu mengendalikan beban tugas atau dipaksa, atau dibayar untuk melepaskan kerusi itu.
“Itu semua mengarut! Saya tidak minta apa-apa. Saya sukarela kerana saya percaya ia akan membawa kepada Selangor yang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Lee berkata, beliau sudah lama berpendapat bahawa Selangor sebagai negeri industri yang paling kaya di Malaysia memerlukan Anwar untuk memperbaiki pentadbiran negeri.
“Mereka yang berumur 40 tahun ke bawah tidak pernah tahu bagaimana beliau bekerja dan ada keperluan untuk mendapatkan landasan bagi Anwar menunjukkan bakatnya,” katanya.
Peguam itu berkata, beliau berjumpa Anwar selama 5 minit sahaja, iaitu tiga jam sebelum menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada speaker negeri, Hannah Yeoh.
“Saya mahu tahu sama ada saya akan dikenakan tindakan jika berhenti kerana semua wakil yang dipilih diwajibkan menandatangani kontrak sebelum PRU13. Saya juga mahukan pengesahan bahawa beliau akan bertanding di situ dan nasih baik beliau menenangkan fikiran saya,” katanya.
Ketika ditanya pendapatnya mengenai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lee berkata, Abdul Khalid mempuyai kekuatan tersendiri, tetapi dalam perkara tertentu, menteri besar itu tidak bergerak mengikut rentak yang diharapkan oleh rakyat.
Sehubungan itu, beliau percaya dengan adanya Anwar dalam pentadbiran dapat membantu mempercepat beberapa perkara.
Beliau mengaku tidak membangkitkan kebimbangan itu kepada Abdul Khalid secara langsung tetapi menekankan bahawa beliau pernah melakukannya beberapa kali dalam rangka kerja parti.
Ada juga yang melihat Lee sebagai ahli politik yang agak keberatan, seseorang yang lebih gemar bekerja di belakang tabir daripada menerima perhatian ramai.
Lee berkata, sepanjang setahun lalu menjadi Adun Kajang, kebanyakan masanya dengan purata 16 hari sebulan dihabiskan untuk berjumpa orang kawasannya dengan setiap hujung minggu penuh dengan program kawasan dari pagi hingga malam.
 Sepanjang menjadi Adun, Lee berulang-alik ke Kajang sama ada dari rumahnya di Shah Alam atau pejabatnya di Petaling Jaya.
Isterinya, seorang akauntan yang turut membantu Lee di firma guamannya dan dua anak mereka berumur 9 dan 7 tahun sangat gembira dengan keputusannya meletakkan jawatan sebagai Adun  kerana ia bermakna selepas ini, beliau akan mempunyai lebih masa untuk keluarga.
“Anak saya kata `ini maknanya tidak perlu ke Kajang untuk kerja’,” katanya tertawa.
Walaupun tidak layak untuk dicalonkan dalam pilihan raya akan datang, Lee tidak menyesal dan berkata, beliau masih boleh membantu pakatan pembangkang di belakang tabir atas kapasitinya sebagai timbalan setiausaha PKR negeri dan ketua bahagian Petaling Jaya Utara.
“Saya tidak mahu menggambarkan keputusan saya sebagai pengorbanan. Saya gembira melakukannya kerana saya dicalonkan oleh parti untuk bertanding di kerusi itu.
“Selagi parti memerlukan saya, saya akan terus menyumbang tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran,” katanya dan menambah seseorang boleh berkhidmat kepada parti dan rakyat tanpa memerlukan pejabat awam.
Buat masa ini, harapannya ialah Anwar akan akhirnya mengambil alih jawatan menteri besar Selangor, langkah yang beliau yakin akan memberi manfaat bukan sahaja kepada negeri, tetapi juga untuk penduduk Kajang.
PRK Kajang akan berlangsung pada 23 Mac manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.
PKR dengan jelas mengumumkan Anwar sebagai calon PKR, manakala, Barisan Nasional masih belum menamakan calon. – 12 Februari, 2014.

Tun Abdul Hamid Mohamad berkata negara Islam yang melaksanakan hukum hudud tidak berjaya mengurangkan jenayah sebaliknya menyebabkan kemelut perundangan.

Semasa pembentangan kertas kerja di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), bekas ketua hakim negara itu berkata, negara yang melaksanakan hudud masih jauh ketinggalan daripada aspek kadar jenayah, keadilan dan keamanan.
"Setakat ini, negara yang melaksanakan hudud seperti Pakistan, Nigeria dan Sudan masih lagi ketinggalan dalam aspek ini berbanding negara yang tidak melaksanakannya seperti Sweden, Norway, Iceland, Denmark dan Jepun," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Implementation of Hudud in Brunei Darussalam: Differences between Brunei Darussalam and Malaysia”, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan hukum hudud Mekah dan Madinah tidak boleh dijadikan ukuran kepada keberkesanan undang-undang Islam tersebut kerana situasi yang berbeza.
"Mereka yang ke sana untuk mengerjakan haji, sekali seumur hidup, membawa wang yang cukup , mahu mendapatkan haji mabrur dan kebanyakannya orang tua dan insaf.
"Pastinya mereka tidak akan melakukan kesalahan jenayah," katanya.
Katanya, pelaksanaan suatu undang-undang bukan semata-mata bergantung kepada pelaksanaan, tetapi pelbagai aspek lain yang juga harus dipertimbangkan.
"Pelaksanaan undang-undang tidak berakhir dengan hanya menguatkuasakannya.
"Apa yang lebih penting ialah bagaimana ia dijalankan, apakah kesan dan akibatnya, adakah ia akan membawa kepada kehidupan lebih baik, keamanan dan kemakmuran, atau ia memperbaiki tahap keadilan dalam negara," katanya.
Abdul Hamid menjelaskan walaupun hukuman hudud dilaksanakan ke atas penganut Muslim sahaja, ianya masih bertentangan dengan Perlembagaan yang menjadi asas undang-undang negara.
"Jika ia dibuat hanya kepada Muslim, ia pasti bertentangan dengan Artikel 8 memandangkan ia mendiskriminasi atas asas agama dan maka itu ia bertentangan dengan Perlembagaan," katanya.
Undang-undang negara berteraskan sistem perundangan “common law”, bagaimanapun undang-undang Syariah juga dilaksanakan oleh negeri kecuali Wilayah Persekutuan, namun Abdul Hamid menegaskan undang-undang Syariah tersebut mestilah selaras dengan Perlembagaan negara.
"Ramai orang berfikir memandangkan kesalahan hudud dan qisas diperuntukan dalam Syariah dan undang-undang Islam dibawah bidang kuasa negeri, maka Dewan Negeri boleh mengubal undang-undang sedemikian.
"Sebahagiannya tepat. Di Malaysia, sebarang undang-undang mestilah konsisten dengan Perlembagaan," katanya.
Beliau juga berkata Dewan Negeri tidak boleh meminda undang-undang Syariah untuk dilaksanakan ke atas bukan Muslim kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara.
Abdul Hamid juga tidak menolak sekiranya hudud dilaksanakan secara rapi dan persediaan tidak mencukupi, seluruh agensi pihak berkuasa negara akan berdepan dengan kecelaruan.
"Polis tidak tahu apa patut mereka buat, pendakwaraya tidak tahu nak buat apa, peguam tidak tahu nak buat apa dan hakim juga tidak tahu nak buat apa.
"Peguam bergegas ke kedai buku untuk mencari apa saja buku mengenai subjek tersebut," kata Abdul Hamid menerangkan situasi yang berlaku di Sudan sebaik undang-undang Islam tersebut dilaksanakan.
Lebih mengejutkan Abdul Halim apabila kerajaan Sudan mengumumkan sekiranya doktor enggan memotong tangan penjenayah, kerajaan sendiri akan memberi latihan kepada hakim untuk menjalankannya.
Pelaksanaan hukum hudud diperjuangan oleh parti Islam PAS, bagaimanapun usaha tersebut sering menerima kritikan sama ada daripada rakan pembangkang Pakatan Rakyat serta kerajaan Barisan Nasional.
Tahun lalu, kerajaan PAS di Kelantan melontarkan sekali cadangan pelaksanaan undang-undang Islam tersebut.
Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, berkata Mahkamah Syariah Kelantan bersedia melaksanakan hukum hudud lantaran daripada prasarana yang mencukupi bagi membolehkan hukuman tersebut dilaksanakan.
Pengkritik tidak melihat usaha tersebut akan berjaya memandangkan kerajaan pemerintah Barisan Nasional masih memiliki kata putus ke atas pelaksanaan undang-undang kontroversi tersebut.
Pengkritik menegaskan penguatkuasaan undang-undang jenayah masih lagi tertakluk di bawah kerajaan pusat seperti peruntukan Senarai 1, Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan.
Tahun lalu, negara jiran, Brunei Darussalam telah menggazetkan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah yang merangkumi pelaksanaan hukum hudud.
Susulan pengumuman tersebut, kerajaan Kelantan telah mengadakan kerjasama erat dengan Brunei termasuk menghantar pegawai bertanggungjawab bagi melihat pelaksanaan hukuman hudud di negara terbabit. – 11 Februari, 2014.
  • Blogger news

  • Blogroll

  • About