RSS
Facebook
Twitter

20 February 2014

Karpal didapati bersalah kerana menghasut

Peguam veteran Karpal Singh hari ini didapati bersalah mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan terhadap Sultan Perak semasa krisis Perlembagaan pada 2009.
Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
Peguam Gobind Singh Deo memohon mahkamah agar menangguhkan hukuman bagi membolehkan mereka menyediakan rayuan agar hukuman yang ringan dikenakan.
"Kami memerlukan laporan perubatan untuk menyokong kes kami," katanya.
Karpal, 73, terpaksa menggunakan kerusi roda ekoran kemalangan jalan raya pada January 2005.
Azman kemudiannya menetapkan hukuman akan dijatuhkan pada 7 Mac.
Karpal yang kelihatan sabar memberitahu wartawan kemudiannya, beliau menerima hukuman itu dan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan dalam masa 14 hari.
Pasukan peguam Karpal menggesa Azman menangguhkan hukuman ke hari lain bagi mereka menyediakan mitigasi untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan.
Karpal, 73, yang juga pengerusi DAP, juga berisiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen kerana kesalahan itu membawa sehingga denda berjumlah RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, wakil rakyat akan hilang kelayakan bagi jawatan itu jika didenda melebihi RM2,000 atau penjara melebihi tempoh setahun.
Turut hadir di dalam bilik mahkamah yang penuh sesak itu adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Karpal menyertai senarai pemimpin DAP yang disabitkan di bawah undang-undang zalim yang sifatkan oleh pengkritik direka untuk menyekat perbezaan pendapat.
Mendiang Dr Ooi Kee Saik, bekas ketua DAP Pulau Pinang, adalah individu pertama yang mengalaminya pada 1970, diikuti mendiang Fan Yew Teng, ahli Parlimen Kampar yang juga pemangku setiausaha agung DAP, pada 1975.
Lim Guan Eng didapati bersalah atas kesalahan yang sama pada 1998 dan dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan. Beliau kembali ke arena politik negara pada 2004.
Karpal dikatakan melakukan kesalahan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur pada 6 Februari 2009.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu didakwa berkata bahawa penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak oleh Sultan Azlan Shah boleh dipersoalkan di mahkamah undang-undang .
Karpal memberi hujah pembelaan bahawa apa yang dikatakan adalah pendapat undang-undang dan tidak menjadi ancaman kepada Sultan, yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara sebelum itu.
Pasukan pembelaannya juga menyatakan pertuduhan dirangka dengan niat jahat kerana ada orang lain yang membuat kenyataan berunsur hasutan lebih teruk tetapi tiada tindakan diambil.
"Karpal tidak mempersoalkan hak Raja untuk melantik seorang menteri besar, tetapi hujahnya bahawa kuasa tersebut hanya boleh dilaksanakan apabila ada kekosongan," kata Gobind semasa hujah penggulungan di akhir kes pembelaan bulan lepas.
"Undang-undang membenarkan Raja-Raja didakwa dan ia adalah sebab mengapa Mahkamah Khas ditubuhkan pada 1993," kata Gobind.
Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin berkata, Karpal mengucapkan kata-kata berunsur hasutan dan niatnya adalah tidak relevan bagi pihak pendakwaan untuk membuktikannya.
"Beliau mempersoalkan hak Sultan mengikut perlembagaan," katanya sambil menambah pernyataan itu dibuat di tengah-tengah ketegangan krisis politik itu.
Beliau berkata, kata-kata peguam itu mempunyai kecenderungan menimbulkan kebencian terhadap Raja.
Azman sebelum ini membebaskan Karpal tanpa memanggilnya membela diri pada Jun 2010.

Pada Januari 2012, Mahkamah Rayuan mengarahkan Karpal membela diri selepas rayuan pendakwa raya dibenarkan. – 21 Februari, 2014
Bekas Pengerusi DAP Kampung Jering mati akibat di tembak di bahagian badan, tangan dan dada di depan rumahnya di Kampung Jering, Ayer Tawar di Seri Manjung malam tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Wong Kong Ting, 56 yang mengalami pendarahan teruk disahkan meninggal dunia di Hospital Manjung pada pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Jaafar Baba berkata dalam kejadian pukul 10.13 malam itu, isteri mangsa terdengar bunyi satu letupan di luar rumah yang disangkakan mercun sebelum melihat suaminya terbaring dalam keadaan berlumuran darah.
"Sebelum kejadian, mangsa baru pulang selepas keluar minum pada pukul 10 malam. Isterinya yang berada di dalam rumah bersama ibu, anak serta sepupunya terkejut mendengar bunyi letupan kuat di luar rumah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini.
Katanya hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui beberapa kelongsong peluru dan tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat lebih daripada seorang.
Beliau berkata satu pasukan khas polis ditubuhkan yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim untuk menyiasat motif sebenar kejadian meliputi pelbagai sudut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat ASP Ahmad Hisham Mohamad Sani di talian 019-5753207 atau menghubungi IPD Manjung di talian 05-6835222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Mangsa yang juga merupakan kontraktor tanaman semula kelapa sawit memegang jawatan Pengerusi DAP Kampung Jering selama empat tahun bermula 2006 dan kini merupakan anggota biasa dalam parti.
Sementara itu, anak mangsa yang enggan dikenali berkata semasa menemui bapanya terbaring di perkarangan rumahnya, mangsa memberitahu dia ditembak. 
"Ketika kejadian saya, emak serta seorang sepupu yang sedang menonton televisyen dengar bunyi motosikal bapa masuk pintu pagar dan tiba-tiba bunyi letupan kuat di luar.
Kami bergegas keluar dan terkejut apabila melihat bapa dalam keadaan berlumuran darah," katanya.
Katanya bapanya selalu keluar minum malam bersama rakannya di kedai berhampiran.
Beliau berkata jirannya memberitahu ternampak sebuah motosikal yang dipecut laju dari rumahnya selepas kejadian itu. - 20 Februari, 2014.

19 February 2014

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah orang yang berjaya memusnahkan hujah P Waytha Moothy yang meletakkan jawatannya sebagai timbalan menteri apabila berkata pemimpin Hindraf itu bukan pemain dalam pasukan dan mendesak bajet untuk masyarakat India diletakkan di bawahnya.

Menteri lain juga nampaknya mengikuti pendedahan Khairy yang dibuat melalui akaun Twiter, dilihat sebagai usaha bersama selepas sembilan hari Waytha meletakkan jawatan.
Tetapi ia bukan kejadian luar biasa untuk Khairy membela Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan dengan lebih cepat berbanding menteri lain dan menteri Belia dan Sukan untuk penggal pertama itu dijangka memainkan peranan lebih besar pada masa depan.
Alasannya: Dalam kabinet yang sangat besar tetapi tidak cekap ini, dia bersinar. Seolah-olah orang bermata satu di kalangan yang buta.
Tidak ada menteri lain yang bersungguh seperti Khairy dalam membela Najib dan kerajaan sejak beberapa bulan lalu. Dia aktif di seluruh negara, menggunakan Twitter dan membina rangkaian di seluruh negara untuk Putrajaya.
Tambahan lagi, keyakinan semakin berkembang di dalam kem Najib, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya menyerang perdana menteri dan keluarganya, orang seperti Khairy yang akan melawan balik dan menjadi barisan hadapan pertahanan.
Sudah tentu ini adalah risiko terpaksa diambil oleh anak muda yang lebih dikenali sebagai KJ ini kerana dia tidak perlu menjadikan musuh Najib sebagai musuhnya. Tetapi adakah dia mempunyai pilihan lain?
Jika Dr Mahathir dan gangnya berjaya menghalau Najib daripada pejabatnya, sudah hampir pasti jalan Khairy ke atas akan tersekat oleh mereka yang mahu melihat dinasti Dr Mahathir sebagaimana Datuk Mukhriz Mahathir mengambil peranan utama sebagai menteri besar di Kedah.
Lagi pula, bukan rahsia lagi tujuan utama Dr Mahathir menentang Najib adalah kerana keputusannya untuk mengekalkan status quo dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden Umno tahun lalu.
Mukhriz kalah 9 undi kepada sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di mana kem Dr Mahathir menyalahkan undi blok dari Pahang.
Tetapi kenaikan Khairy sebagai barisan depan pertahanan Najib menunjukkan kurangnya pilihan yang ada kepada Najib.
Walaupun sebahagian besar ahli majlis tertinggi dan Jemaah menteri bersetuju sepenuhnya dengan Najib, namun mereka tidak mempunyai kekuatan dan kebijaksanaan untuk mempertahankan Najib ketika kritikan terhadapnya semakin hebat.
Ia juga merupakan satu penghinaan besar untuk Keluarga Pertama itu yang selama ini melayan Khairy secara endah tak endah kerana beliau dilihat sebagai penggerak utama dalam kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Apabila Najib mengambil alih jawatan bapa mertua Khairy pada April 2009, jawatan Kabinet tidak diberikan kepada ketua Pemuda Umno itu, tetapi sebaliknya diberikan kepada timbalannya, Datuk Razali Ibrahim.
Namun Khairy tetap bersabar dan kemudian dinamakan menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), walaupun dengan bantahan daripada puak Dr Mahathir. Difahamkan bahawa Khairy sepatutnya menjadi menteri lain, tetapi bertukar kerana ingin memuaskan hati Dr Mahathir.
Ketua Pemuda Umno itu juga merupakan ketua jurucakap Barisan Nasional (BN) dan Umno selepas PRU13, di mana BN kalah tujuh lagi kerusi kepada Pakatan Rakyat (PR).
Paling menarik, beliau akan bercakap di persidangan belia Malaysia di Manchester, United Kingdom, bertemakan "Globalisasi Belia Malaysia", yang turut dihadiri Dr Mahathir. – 20 Februari, 2014.

17 February 2014

PRK Kajang perang PKR-BN

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak akan mengubah teraju kerajaan negeri, namun lebih berkisar tentang perang antara Barisan Nasional (BN) dan penyandang PKR, walaupun terdapat beberapa calon bebas yang bakal bertanding.

Walaupun Datuk Zaid Ibrahim lebih kuat dari segi politik berbanding calon bebas lain dalam PRK 23 Mac itu, para penganalisis percaya peguam itu tidak akan dapat merampas kerusi tersebut daripada PKR, yang meletakkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.
Dari segi sejarah, calon bebas jarang memenangi pilihan raya disebabkan kekurangan pengalaman politik serta tidak begitu terkenal di kalangan pengundi.
"Sebahagian besar Pilihan Raya Kecil Kajang ini adalah peperangan antara BN dan PKR. Mengikut sejarah, calon parti bebas tidak pernah menunjukkan prestasi yang baik di Malaysia. Calon bebas tidak pernah mendapat lebih daripada 3% undi," kata Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian.
Tiada seorang pun daripada 190 calon bebas bagi kerusi Parlimen ‎dan DUN menang dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) tahun lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum 2004, calon bebas Chong Hon Min bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Sandakan.
Sebelum itu, pada tahun 1988, Tan Sri Shahrir Samad meletakkan jawatan di kerusi Parlimennya selepas dipecat daripada Umno.
Beliau bertanding sebagai calon bebas dan menang di kerusi tersebut.
Tindakan Shahrir itu menyebabkan undang-undang digubal sesiapa yang meletakkan jawatan bagi sesuatu kerusi tidak boleh bertanding dalam tempoh lima tahun.
Zaid sudahpun mengumumkan hasratnya bertanding sebagai calon bebas bagi PRK Kajang.
Di antara yang berminat untuk bertanding termasuklah kawan-bertukar-musuh Anwar, Datuk Seri S Nallakaruppan dan bekas pembantu Anwar, Yuktes Vijay.
Bagaimanapun, Ibrahim merasakan Zaid dapat menggunakan kebimbangan pengundi tentang "Rancangan Kajang" PKR untuk mendapatkan sokongan.
Pengarah Pusat Inisiatif Polisi, Dr Lim Teck Ghee berkata, Zaid yang merupakan bekas menteri de facto undang-undang semasa pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum berhenti pada 2008 kerana penyalahgunaan akta yang kini dimansuhkan, ISA, akan dilihat seperti terlalu ketara niatnya.
"Zaid mungkin akan mendapat undi daripada BN dan PKR. Pengikut besarnya adalah golongan bukan Melayu kelas tengah kerana keberanian beliau bercakap tentang isu kontroversi secara terbuka dengan rasional. Akan tetapi golongan ini juga akan bimbang dengan pergerakan politiknya yang huru-hara dan logik di sebalik tindakannya terkini."
Beliau mengenepikan sebab yang diberikan Zaid, dan berkata tidak ramai yang akan mempercayai kenyataan beliau untuk mengekalkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya terus bertugas - melainkan Abdul Khalid atau pemimpin PKR yang lain mengesahkan kenyataan tersebut.
"Di sebalik kebimbangan tentang kebijaksanaan pilihan raya kali ini, para pengundi akan tetap menyokong Khalid dan Pakatan kerana ia mementingkan perkara yang lebih besar, seperti isu rasuah, kerajaan tidak efisyen, penyalahgunaan kuasa dan kenaikan kos sara hidup."
Tidak seperti calon bebas lain, Lim percaya Zaid tidak akan hilang depositnya, tetapi kempennya akan terjejas kerana kekurangan jentera parti dan sokongan daripada kumpulan dan pelobi.
"Sekiranya BN berpaling arah dan bercadang menyokong Zaid sekalipun, saya jangkakan Anwar akan menang," katanya dalam satu temubual email.
Menurut Lim, pihak yang akan kalah pertarungan ini dijangkakan calon BN, yang secara tradisinya ditandingi oleh MCA.
Lim berkata calon yang belum dinamakan itu akan dilihat orang ramai sebagai tidak ada harapan untuk menang, disebabkan rekod kejayaan parti Cina itu yang tidak seberapa.
"Calon itu akan cuba menggunakan pencalonan Zaid, tetapi daripada posisi yang lemah kerana sebab sebenar Zaid bertanding adalah untuk mengekalkan Khalid dan Pakatan dalam kuasa di Selangor."
Di sebalik kehadiran calon bebas, Anwar akan memenangi pilihan raya kecil ini dengan mudah, kata Profesor James Chin, asalkan tiada sabotaj dalaman.
"Calon bebas seperti Zaid akan cuba mengurangkan majoriti PKR. Jika yang keluar mengundi ramai, Anwar akan menang dengan majoriti yang sama," katanya merujuk kepada majoriti 6,000 yang dimenangi PKR dalam PRU13 tahun lepas.
Profesor Sains Politik dan Pengetua Sekolah Universiti Monash Malaysia, Profesor James UH Chin semasa pembentangannya di forum awam tentang sistem pilihan raya ke arah pilihan raya lebih adil sistem '1 Person, 1 Vote, 1 Value' di Dewan Sivik MBPJ pada 16 Februari. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 18 Februari, 2014. "Jika yang mengundi tidak ramai dan majoriti dikurangkan, Zaid bolehlah mendapat kemenangan moral." kata penganalisis politik dari Universiti Monash Malaysia itu.
Pada 2009, selepas dipecat Umno, Zaid menyertai PKR dan bepayung di bawah parti tersebut untuk PRK Hulu Selangor pada 2010, di mana beliau kalah kepada P Kamalanathan.
Beliau meninggalkan parti tunjang Pakatan Rakyat itu tahun selepas menuduh kepimpinan parti tersebut melakukan penipuan pilihan raya dalaman.
Zaid meneruskan dengan memimpin parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang tidak berapa terkenal, tetapi berhenti sebagai presidennya pada 2012.
PRK Kajang dicetuskan oleh peletakan jawatan Lee Chin Cheh.
Dalam PRU1, Lee menang dengan majoriti 6,824, selepas mendapat 19,751 undi, diikuti dengan Lee Ban Seng dari BN dengan 12,747 undi dan Mohamad Ismail dari Berjasa dengan 1,014 undi. – 18 Februari, 2014.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini diberitahu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tidak faham erti perjuangan Malaya atau Tanah Melayu ketika berceramah mengenai serangan komunis di Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor  berkata Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu tidak tahu mengenai serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong ketika berceramah di Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.
"Beliau adalah seorang anggota politik yang bercakap besar tentang satu isu besar, tetapi tidak tahu apa-apa. Itulah jadinya...," kata Abdul Rahim di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Zakaria Sam.
Abdul Rahim yang merupakan saksi kelima berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Utusan Melayu (M) Bhd, pada perbicaraan kes saman fitnah Mat Sabu terhadap akhbar itu dan Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Aziz Ishak.
Utusan turut diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Mat Sabu diwakili peguam Mohamad Hanipa Maidin dan Amiruddin Zulkifli.
Abdul Rahim berkata semasa serangan komunis pada 23 Februari 1950 itu, pada dasarnya anggota polis hanya melakukan tugas mereka untuk melindungi Balai Polis Bukit Kepong.
"Tidak ada perbezaan dalam ikrar yang dilakukan polis sekarang dan sebelum ini, iaitu untuk menegakkan keamanan dan ketenteraman awam.
"Satu-satunya perbezaan pada 1950, kerajaan kolonial British yang mentadbir seluruh Malaya dan Singapura.
"Oleh itu, (polis bertindak terhadap) sesiapa yang mengambil senjata atau melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang atas nama merevolusikan negara ini," katanya dalam perbicaraan yang berlangsung lebih dua jam itu.
Apabila ditanya jika Mohamad (Ahmad) Indera atau Mat Indera yang mengetuai serangan di balai polis itu, adalah seorang pejuang kebebasan atau komunis, Abdul Rahim berkata beliau mempunyai dua sumber iaitu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dan bekas pengerusi PKM Abdullah CD, yang mengatakan Mat Indera adalah bekas komunis.
Perbicaraan bersambung esok. - 17 Februari, 2014.

15 February 2014

Seorang guru menangkap tiga lelaki yang cuba mengedar beberapa Bible berbahasa Melayu kepada pelajar di sebuah sekolah di Georgetown, Pulau Pinang.

Menurut Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Haji Zainal Abidin, Nor Amin Ahmad, kejadian berkenaan berlaku di sekolah berkenaan yang jaraknya tidak jauh dari sekolah itu.
Pihaknya kesal kerana Bible dalam bahasa Melayu itu juga tertulis kalimah Allah yang dibimbangi boleh mengelirukan pelajar sekolah.
“Tajuk kitab itu ialah Kenalilah Al Kitab dan di bahagian bawahnya mereka cuba menarik pembaca dengan menulis ‘Sebuah panorama Firman Allah dalam 366 bacaan dan renungan harian'.
“Kenapa kitab sedemikian cuba diedarkan kepada pelajar? Lebih mengelirukan kerana ia dalam bahasa Melayu. Jadi memang (jelas) matlamatnya untuk memesongkan akidah pelajar Melayu Islam,” katanya dipetik dari Sinar Harian.
Nor Amin menggesa pihak sekolah memantau lebih ketat, khasnya pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga keselamatan sekolah.
Pada 27 Disember lepas Pengarang Herald, Paderi Lawrence Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Melayu walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.
Pada Januari, ketegangan kemelut isu kalimah Allah berada pada kemuncak selepas Gereja Church of the Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang diserang bom buatan sendiri.
Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Islam mencetuskan perbalahan apabila umat Islam yang membentuk sejumlah besar populasi di negara ini menganggap perkataan berkenaan adalah hak eksklusif mereka.
Penganut Kristian membentuk 9% daripada 29 juta rakyat di negara ini.
Isu perebutan kalimah Allah timbul pada 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri mengugut membatalkan permit akhbar mingguan Herald yang menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan kepada Tuhan. – 16 Februari, 2014.

14 February 2014

Senator Datuk Paul Low menegaskan hari ini beliau tidak akan mengikut jejak bekas Timbalan Menteri, P Waytha Moorthy yang meletakkan jawatan baru-baru ini walaupun terdapat desakan kepada beliau untuk berbuat demikian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan integriti dan ketelusan itu berkata, beliau masih mempunyai tugas yang perlu diselesaikan sebelum berhenti.
"Saya hanya boleh komen yang saya tidak akan letak jawatan. Mengapa saya harus letak jawatan? Saya masih belum laksanakan rancangan saya," katanyakepada pemberita selepas forum anjuran Institut Integriti Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
"Saya tidak mudah berputus asa, saya tidak akan letak jawatan dengan mudah. Saya tahu apa yang sedang saya lakukan. Jadi saya buat sahaja," katanya.
Low berkata,  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil langkah berani dengan melantiknya sebagai menteri ketika sedang menjawat sebagai presiden Transparency International Malaysia (TI-M).
"Apa akan jadi jika saya gagal? Saya mesti penuhi kepercayaan diberikan kepada saya olehnya (Najib) dan rakyat," katanya.
Najib melantik Low dan Waytha Moorthy selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan kedua-duanya seringkali dikritik hebat oleh ahli politik Pakatan Rakyat (PR) dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO).
Low dibawa masuk ke Kabinet untuk menguruskan isu rasuah dan untuk meningkatkan program anti rasuah Putrajaya kerana latar belakangnya sebagai bekas presiden TI-M.
Pada 10 Febuari, Waytha Moorthy meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri sebagai bantahan terhadap Putrajaya yang dikatakan tidak memenuhi janji memperbaiki kehidupan dan kebajikan masyarakat India di Malaysia.
Masih belum jelas apakah Waytha akan turut meletakkan jawatan senatornya.
Pelantikan Waytha Moorthy dilihat sebagai ganjaran kerana kejayaan mengembalikan semula sokongan masyarakat India kepada Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum 5 Mei tahun lalu.
Bagaimanapun, Waytha Moorthy sejak pada awal lagi dilihat sukar untuk bekerja dengan pemimpin BN khususnya Umno kerana perbezaan pendiriannya dengan pemimpin dalam pentadbiran Najib.
Sejak awal lagi bibit ketegangan kelihatan, Waytha Moorthy menerima tamparan pertama apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memintanya supaya meletakkan jawatan kerana mempersoalkan tindakan pihak berkuasa polis.
Kurang tiga minggu sebelum PRU13, Waytha Moorthy menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan BN. - 15 Febuari, 2014.
  • Blogger news

  • Blogroll

  • About