RSS
Facebook
Twitter

01 April 2014

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui beliau melakukan kesilapan dalam kenyataannya mengumumkan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi pada 24 Mac lalu.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang daripada DAP berkata, Najib memberikan kenyataan mengelirukan dan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan pesawat itu berakhir.
Katanya, adalah jelas kenyataan Najib bermaksud pesawat malang itu terhempas apabila sehari selepas pengumuman itu, di Parlimen beliau membentangkan usul simpati MH370 kerana tiada satu pun penumpang terselamat daripada insiden itu.
"Kenyataan itu diperkukuhkan dengan kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar MAS menyatakan tiada penumpang terselamat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar daripada PAS juga mempersoalkan adakah kerajaan akan mengambil tindakan terhadap media tempatan yang turut menyiarkan kenyataan daripada Najib seolah-olah pesawat MH370 terhempas.
"Mereka kena jelaskan kerana kita sekarang keliru apa maksud dengan penerbangan berakhir, adakah ia terhempas atau apa?
"Saya ingin bertanya adakah Najib atau (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein sanggup mengambil tindakan terhadap media tempatan yang menulis seolah-olah MH370 terhempas, saya memetik pada laporan Harian Metro, tajuk akhbar itu 'Pusara di Lautan Hindi',  jadi beranikah mereka mengambil tindakan," katanya.
Selain itu, Mahfuz juga menggesa kerajaan untuk mendedahkan bilakah kerajaan menghubungi Rolls-Royce dan Boeing bagi mendapatkan maklumat siasatan berhubung MH370.
Beliau berkata demikian mengulas temuramah Hishammuddin bersama stesen televisyen China (CCTV) pada Isnin yang menyelar dua syarikat tersebut kerana berdiam diri mengenai tragedi kehilangan pesawat MH370.
"Kita minta mereka jelaskan maklumat tertentu itu dan perkhidmatan pembekal mana yang mereka maksudkan dan bilakah kerajaan menghubungi Boeing dan Rolls-Royce untuk mendapatkan maklumat penyiasatan," katanya.
Beliau juga menggesa agar taklimat ahli Parlimen pembangkang MH370 perlu disegerakan memandangkan kenyataan kerajaan mengenai siasatan MH370 yang semakin mengelirukan.
Sementara itu, Lim juga memberitahu bahawa taklimat bersama ahli Parlimen PR akan diadakan semula pada Selasa depan sepertima dimaklumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim kepadanya.
Ditanya mengenai notis yang tidak diberikan oleh PR ketika kali pertama meminta menteri itu menguruskan taklimat MH370 bersama pemangku Menteri Pengangkutan (Hishammuddin), beliau berkata perbuatan itu sia-sia.
"Bagaimana kita hendak hantar notis kerana kita sudah tahu awal bahawa Hishammuddin tidak akan berada di taklimat tersebut kerana sudah bertolak ke Hawaii dalam lawatan kerjanya, jadi apa guna notis itu," katanya.
"Bagaimanapun Menteri, Shahidan bersetuju pada kita bahawa minggu depan Hishammuddin akan menghadiri taklimat sepertimana yang kita tuntut," katanya.
Kenyataan Najib pada 24 Mac lalu yang menyatakan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi di mana tidak seorang penumpang pun selamat menimbulkan kemarahan waris keluarga penumpang MH370 daripada China. – 2 April, 2014.

Selepas 24 hari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang, pihak berkuasa kini mempunyai tempoh seminggu untuk mencari bukti fizikal terutamanya kotak hitam pesawat itu kerana isyarat daripada perakam itu bakal lenyap tidak lama lagi.

Isyarat yang dipancarkan daripada kotak hitam itu menggunakan kuasa bateri yang akan berakhir selepas 30 hari, dan adalah sukar bagi operasi pencarian menjejakinya tanpa isyarat khususnya di kawasan luas seperti di Lautan Hindi.
Operasi pencarian oleh pelbagai negara telah mengenal pasti kawasan seluas 254,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, iaitu kira-kira 1,850km dari barat Perth di Australia, sebagai kemungkinan lokasi pesawat itu berakhir.
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam berkata, 10 pesawat termasuk sebuah pesawat awam dan 10 kapal telah memulakan perjalanan ke kawasan carian untuk mencari serpihan yang mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 itu.
Jika mereka menemui serpihan itu dan mengesahkannya daripada pesawat berkenaan, ia akan membantu pasukan mencari untuk mengecilkan kawasan pencarian kotak hitam itu.
Bagaimanapun, dengan ketibaan kapal Ocean Shield yang dilengkapi alat pengesan isyarat, dan kapal selam kecil tanpa pemandu Bluefin 21 yang dijangka tiba di kawasan pencarian pada Khamis, harapan tinggi disandarkan bagi mengesan kotak hitam itu.
Mengenai objek berpotensi yang dikesan pada Sabtu, Hishammuddin berkata lima objek diambil oleh kapal perang tentera laut Australia OHMAS Success dan Haixun, sebuah kapal dari China.
"Bagaimanapun, didapati tiada ada satu pun objek itu yang berkaitan dengan MH370," katanya kepada pemberita dalam sidang media mengenai perkembangan terkini berhubung misi pencarian MH370 di Kuala Lumpur, semalam.
Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di "selatan Lautan Hindi" berdasarkan analisis data satelit oleh firma telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB).
Najib juga akan melawat Perth, Australia pada Rabu ini untuk melihat sendiri operasi mencari pesawat yang hilang di Lautan Hindi itu.
"Perdana Menteri kami memutuskan pergi ke Perth pada Rabu bagi lawatan kerja ke pangkalan tentera udara Pearce untuk melihat sendiri operasi dan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang terlibat dalam usaha mencari pelbagai negara ini, termasuklah kakitangan dari Malaysia," kata Hishammuddin.
Sementara itu, rakan kongsi kod MAS, China Southern Airlines, bersetuju untuk bekerjasama dengan MAS dalam memberi bantuan kepada anggota keluarga penumpang pesawat MH370.
Namun, ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata syarikat penerbangan nasional itu memikul lebih tanggungjawab di atas kehilangan MH370 kerana pesawat itu dimiliki MAS.
Penerbangan MH370 turut dipasarkan sebagai Penerbangan 748 (CZ748) China Southern Airlines, dengan ada penumpang yang memegang tiket syarikat penerbangan China itu.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang daripada radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di Laut China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. – 1 April, 2014.
  • Blogger news

  • Blogroll

  • About