RSS
Facebook
Twitter

26 February 2014

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak dimaklumkan berkenaan Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandangani Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) berhubung isu air di Selangor.

Ketua Pembangkang itu berkata Khalid memaklumkan beliau daripada masa ke semasa berkenaan rundingan antara kerajaan Selangor dan kerajaan Pusat berhubung perkara itu, tetapi butir terperinci berkenaan perjanjian berkenaan tidak dimaklumkan kepadanya.
"Saya mengetahui perjanjian yang dibuat sebelum ini, Khalid maklumkan kepada saya daripada masa ke semasa.
"Tetapi tidak yang terakhir ini. Saya tidak tahu," katanya ketika ditemui pemberita dalam program "Sepetang Bersama Anwar Ibrahim" di Kajang, lewat petang tadi.
Kerajaan negeri Selangor menandatangani perjanjian MoU dengan KeTTHA berhubung pemilikan konsesi air di Selangor awal hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyaksikan upacara menandatangani MoU berkenaan antara Khalid dan Datuk Seri Maximus Ongkili di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
"Khalid baru beri gambaran. Pada dasar kita mahu penyelesaian segera. Tetapi saya tidak mahu ulas, beliau baru bagi gambaran umum. Bila beliau beri secara terperinci saya boleh ulas," kata Anwar kepada pemberita.
"Secara prinsipnya kita bersetuju (kerana) dapat selesaikan masalah air dengan segera," kata calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu lagi.
Khalid menandatangani MoU berkenaan bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri berkenaan dengan suntikan dana RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambilalihan saham syarikat konsesi.
Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) akan membenarkan Putrajaya meneruskan Loji Rawatan Air Langat 2.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air di Selangor.
Ekoran pengambilalihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor yang akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Kerajaan negeri Selangor menjangkakan pengambilalihan syarikat konsesi tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan.
Maklumat yang diperoleh daripada Pejabat Menteri Besar Selangor itu turut menyatakan, melalui pengambilalihan ini, diharap mampu menyelesaikan masalah air kerana kerajaan negeri memiliki kemampuan kewangan dan tenaga kerja berpengalaman di samping pengurusan air yang lebih cekap dan mantap.
Berdasarkan kenyataan bersama yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor dan kementerian berkenaan petang tadi, Loji Langat 2 akan diteruskan pembinaannya dalam tempoh 30 hari selepas MoU berkenaan ditandatangani.
"Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menjadi pemudah cara bagi kerajaan negeri Selangor melaksanakan penstrukturan semula industri melalui Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA) 2006 dan mana undang-undang terpakai.
"Sebagai balasan, kerajaan negeri pula akan mengeluarkan kebenaran merancang untuk Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya berkuatkuasa hari ini.
"Dan kita akan memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkait pembangunan projek Langat 2 diluluskan dalam masa 30 hari daripada tarikh memorandum ini ditandangani," kata kenyataan tersebut.

Taib Mahmud letak jawatan Adun Balingian

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balingain Jumaat ini, lapor akhbar Berita Harian.

Akhbar tersebut memetik Abdul Taib sebagai berkata, notis pengosongan itu sudah diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar. 
Taib sebelum ini mengumumkan mengenai peletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sarawak berkuat kuasa 28 Februari dan beliau akan digantikan oleh Tan Sri Adenan Satem.
Dalam sidang akhbar baru-baru ini, Adenan yang ditemani dua anak lelakinya Abdul Aziz, 47, dan Azizul Annuar, 23, turut mengesahkan bahawa pemilihannya sebagai bakal ketua menteri dibuat selepas anggota-anggota Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) yang bermesyuarat memberi mandat penuh kepada Taib untuk memilih penggantinya.
"Beliau (Taib) sebenarnya tidak mahu tetapi kami (anggota-anggota MT) memaksa beliau untuk memilih...terima kasihlah kerana beliau memilih saya," katanya.
Menurutnya Taib juga tidak pernah memberitahunya yang beliau akan dilantik sebagai ketua menteri.
Adenan turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pelancongan dan Pembangunan Perumahan Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Openg yang juga Timbalan Presiden PBB dan Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar yang juga Naib Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kerana menyokong pelantikan beliau sebagai bakal ketua menteri. - 26 Februari, 2014.

25 February 2014

Al Kisah KLIA 2 RM 4Bilion

Keretakan di beberapa kawasan klia2 mungkin sebabkan pembukaan ditangguh lagi

Kebimbangan mengenai keselamatan lapangan terbang tambang murah klia2 dibangkitkan lagi selepas penemuan keretakan di jalan rayap, kawasan apron dan sekurang-kurangnya satu tempat parkir pesawat, seminggu selepas bangunan terminal gagal pemeriksaan bagi piawaian kebakaran dan keselamatan.
Satu set gambar yang diambil baru-baru ini menunjukkan keretakan dan permukaan beralun di jalan rayap membawa ke landasan sepanjang 3.96 km, selain keretakan di kawasan apron dan tempat parkir pesawat yang boleh menyebabkan pembukaan lapangan tambang murah itu yang dijadualkan pada 2 Mei ditangguhkan lagi.
"Jalan rayap ini penting kerana lebih 300 pesawat berlepas dan mendarat di lapangan terbang tambang murah pada ketika ini dengan pesawat yang penuh. Sebarang keretakan akan menyebabkan kebimbangan keselamatan kepada syarikat penerbangan untuk mendarat di sini.
Di antara syarikat penerbangan bakal menggunakan terminal ini adalah AirAsia, AirAsia X, Cebu Pacific dan Malindo Air yang kebanyakannya akan menggunakan pesawat kecil seperti Boeing 737 dan Airbus 320. Bagaimanapun, AirAsia X menggunakan pesawat besar A330 dan A340 yang boleh membawa beban lebih berat.
"Pihak berkuasa sudah diberitahu mengenai keretakan dan kerja baik pulih akan mengambil masa, lebih lama daripada tarikh pembukaan pada 2 Mei ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan," tambah sumber tersebut.
Pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengadakan ujian landasan Oktober lepas menggunakan pesawat Boeing 737-900ER Malindo Air di Landasan 3 dan menganggapnya sebagai satu kejayaan kerana pesawat tidak melantun semasa mendarat.
KUB Builders, anak syarikat KUB Malaysia adalah kontraktor landasan lapangan terbang bernilai RM268.8 juta yang menghubungkan jalan rayap ke terminal lapangan terbang.
Sumber mengatakan syarikat pesawat tambang murah akan berwaspada menggunakan klia2 sehingga kerja-kerja pembaikan selesai dengan salah seorang mengatakan.
"Ini boleh menjejaskan rekod keselamatan 100% mereka, jadi syarikat seperti AirAsia dan Malindo Air mahukan jaminan penuh kerana sebarang kemalangan akan menjejaskan perniagaan mereka."
Keretakan di bahagian apron. - Gambar The Malaysian Insider, 26 Februari, 2014."Sesetengah syarikat tambang murah masih belum membuat keputusan sama ada mahu berpindah operasi ke lapangan tambang murah itu pada 2 Mei sehingga pihak berkuasa menyelesaikan isu keselamatan," kata sumber lain.
Awal bulan ini MAHB mengesahkan pembukaan klia2 mungkin ditangguhkan kerana dua pertiga daripada bangunan terminal utama lapangan terbangan itu tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran selepas pemeriksaan dijalankan bulan lepas.
Menurut satu kenyataan dari MAHB, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Majlis Perbandaran Sepang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat membuat pemeriksaan terhadap bangunan itu pada minggu terakhir Januari lalu dan mendapati 65% daripada terminal utama tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran.
Terdapat keretakan dalam paip pembetungan di luar terminal, dan bahagian-bahagian jalan dan perparitan tidak sesuai untuk digunakan. Perakuan pihak berkuasa itu penting bagi pengeluaran Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) untuk lapangan terbang yang menelan belanja RM4 bilion itu.
Malaysia Airports Holdings Bhd, dalam kenyataan tersebut turut berkata mereka gagal untuk menerima CCC bagi bangunan terminal klia2 daripada UEMC-Bina Puri.
Kontraktor utama UEMC-Bina Puri Joint Venture sebelum ini sudah memberi jaminan ia akan menyerahkan bangunan terminal atau menyerahkan CCC kepada pengendali lapangan terbang itu pada 31 Januari.
Dalam satu kenyataan berasingan, UEM-Bina Puri mengesahkan ia tidak boleh mendapatkan CCC pada 31 Januari dan mendakwa ini disebabkan oleh "isu yang tidak dijangka" berlaku baru-baru ini semasa pemeriksaan susulan.
Akhbar The Star melaporkan awal bulan ini kerja-kerja pembaikan akan mengambil kira-kira tiga hingga empat minggu untuk melengkapkannya dan walaupun kontraktor dijadualkan akan melalui satu lagi ujian yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam masa dua minggu lagi, namun sebarang kelewatan dalam mendapatkan pengesahan kelayakan untuk bangunan beroperasi akan memberi kesan kepada pembukaan lapangan terbang.
"Begitu banyak janji dan jaminan yang diberikan oleh kontraktor, namun gagal untuk mendapatkan CCC. Kini terdapat kebimbangan adakah mereka boleh mendapatkan CCC pada akhir Februari," kata sumber dalam industri kepada The Star.
Kelewatan pembukaan klia2 selama hampir setahun menyebabkan perang mulut diantara pengasas AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Hishammuddin berkata pada hujung minggu pihak berkepentingan usah menunding jari atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mengutamakan kepentingan nasional dan rakyat terlebih dahulu untuk mematuhi tarikh operasi yang ditetapkan iaitu pada 2 Mei ini.
"Tarikh yang dijanjikan itu ditetapkan oleh mereka sendiri bukan dari kerajaan kerana ia merupakan 'private commercial venture'. Jadi mereka kena bertanggungjawab kalau mereka tidak sehaluan sekalipun.
"Saya sebagai menteri bertanggungjawab mahu tarikh yang ditangguhkan dahulu, dan sudah dijanjikan akan beroperasi pada 2 Mei itu dapat ditunaikan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kajang pada Ahad.
Sehari sebelum itu Fernandes menggunakan akaun Twitternya untuk menyerang MAHB dan Hishammuddin kerana peningkatan kos dan cukai klia2.
Fernandes berkata di Twitternya: "Kita harus jelas. Lapangan Terbang Malaysia adalah monopoli. Kebimbangan saya adalah mereka perlu pastikan kos dikurangkan untuk orang awam Malaysia.
"Kita cipta penerbangan tambang murah. Kita tidak minta lapangan terbang 4 bilion (ringgit) yang lewat selama 3 tahun. LCCT sekarang hanya berkos RM250 juta.
Sebagai respon kepada Fernandes, Hishammuddin mempertahankan kelewatan klia2 selama lebih dua tahun:
"KLIA2: Peningkatan kos&Kelewatan-Orang ramai akan tahu kenapa/siapa selepas dibuka 2 Mei = Fokus kerajaan @jayadylan @tonyfernandes."
klia2 sudah beberapa kali ditangguhkan pembukaannya dengan terakhir seharusnya dibuka pada 30 April sebelum ditunda lagi ke 2 Mei. – 26 Februari, 2014.
Keretakan pada jalan rayap. - Gambar The Malaysian Insider, 26 Februari, 2014.

24 February 2014

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, calon Pakatan Rakyat (PR) itu tidak akan berjaya menerajui Putrajaya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya Anwar menang di Kajang hanyalah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dan Datuk Seri Najib Razak masih perdana menteri.
"Mungkin Selangor sebuah negeri besar dan kaya raya, dia kata kalau dia menang di PRK Kajang ini adalah satu langkah paling dekat untuk sampai Putrajaya. Menang PRK sini tidak sampai ke Putrajaya.
"Yang menang sekarang BN. Perdana menteri kita Najib. Anwar kalau menang sebagai Adun. Yang menang di Kajang tidak jadi perdana menteri," katanya ketika berucap di hadapan penyokong Barisan Nasional (BN) dan penduduk setempat di Kajang, Selangor hari ini.
Dalam majlis yang turut dihadiri calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun itu, Muhyiddin mengumumkan Datuk Seri Noh Omar sebagai pengarah PRK Kajang BN.
Muhyiddin berkata, hasrat BN untuk bertanding PRK Kajang adalah bagi menyuburkan semangat demokrasi dan menunjukkan parti itu prihatin kepada kehendak rakyat.
Katanya, biar 10 kali calon seumpama Anwar datang sekalipun, BN tetap akan bertanding sebagai alternatif kepada pengundi Kajang untuk tidak terjerat dalam permainan politik PR.
“Maklum balas daripada pelbagai pihak meminta BN menawarkan diri untuk bertanding kerusi DUN Kajang. Kita sebagai sebuah parti yang mendukung semangat demokrasi yang prihatin dengan apa rakyat mahu pastinya akan menawarkan diri.
“Kita bertanding menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya hatta Anwar 10 kali datang pun, BN tetap akan bertanding di Kajang,” katanya.
Muhyiddin pada Jumaat mengumumkan Chew yang juga naib presiden MCA sebagai calon BN menentang Anwar dalam PRK Kajang setelah beberapa siri perbincangan diadakan bersama parti komponen BN.
Chew, 50, adalah bekas ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, ketua wanita MCA, timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta senator.
Selepas tiga tahun mendiamkan diri, Chew membuat kemunculan semula apabila memenangi jawatan naib presiden MCA dalam pemilihan parti Disember tahun lalu.
Muhyiddin berkata, pengundi di Kajang sewajarnya bertanyakan kepada Anwar mengapa PRK di kawasan itu perlu diadakan dan Anwar perlu menjadi calon.
Katanya, Anwar bukanlah anak jati kelahiran Selangor tetapi bercita-cita mahu menjadi menteri besar sebagai mana yang dilaporkan media.
“Sepatutnya mereka yang terpilih menjalankan tanggungjawab dan amanah apabila rakyat mengundi mereka. Agak luar biasa yang menawarkan diri mengisi kekosongan adalah Anwar.
“Kalau Anwar menang, saya andaikan satu krisis akan timbul. Bila krisis (Tan Sri Abdul) Khalid dan (Mohammed) Azmin tidak dapat diselesaikan menunjukkan bahawa kelemahan pimpinan Anwar sendiri. Dia ketua umum dan penasihat kepada kerajaan negeri, tak kan dia tak boleh selesai,” katanya.
Muhyiddin menyifatkan pengundi Kajang yang mengundi BN pada PRK 23 Mac ini sebagai satu jihad mengelakkan kemungkaran dan perselihan yang negatif.
“Bila BN membuat keputusan menawarkan calon, ia bertujuan menyelamatkan keadaan selepas pilihan raya nanti.
“Ini satu tanggungjawab dan dalam Islam disebut jihad untuk mencari kebaikan, mengelak kemungkaran, jauh daripada perselisihan perkara yang tidak baik. Ini satu kewajipan dan tanggungjawab kita,” katanya. - 24 Februari, 2014.

Selangor catu air bermula

Catuan air di Selangor akan bermula, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini.

Beliau berkata, catuan air tersebut bermaksud bekalan air akan disediakan untuk dua hari dan dua hari lagi tanpa air.
"Dengan cara ini, paip air tidak akan kering selama beberapa hari lagi," katanya dipetik daripada The Star Online.
Khalid berkata, tangki Syabas dan tangki statik akan dihantar di tempat yang terjejas.
Antara tempat yang terjejas adalah Bukit Tampoi, Batu 11 dan Cheras.
Beliau akan membuat kenyataan hari ini untuk mengumumkan senarai penuh tempat yang terjejas dengan catuan air esok.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata bekalan air di Empangan Sungai Selangor hanya berbaki 57.63% manakala Empangan Klang Gate berbaki 58% dan boleh terus berkurangan sekiranya cuaca panas berterusan.
Pengurangan air di empangan boleh menjejaskan kira-kira 2 juta pengguna yang bergantung kepada sumber air di kawasan tadahan itu.
Mahdzir berkata, selain catuan air, pembenihan awan boleh dilakukan untuk meningkatkan kadar hujan dan menambah bekalan air di empangan.
Bagaimanapun, Pengarah Bahagian Sains Atomosfera dan Pembenihan Awan bagi Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Azhar Ishak, berkata cuaca panas serta keadaan angin sekarang adalah tidak stabil untuk memulakan proses pembenihan awan.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata pembenihan awan hanya akan dilakukan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan darurat berikutan cuaca panas ketika ini. – 24 Februari, 2014.

22 February 2014

Tan Sri Abu Kassim Mohamed mengakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan pendakwaan selektif kerana perlukan bukti dan keterangan serta bukti yang kuat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata, kedua-dua kriteria tersebut diperlukan untuk agensi pencegahan rasuah tersebut mengambil tindakan ke atas tertuduh.
"Memang SPRM melakukan pendakwaan selektif iaitu mendakwa orang yang mempunyai bukti dan keterangan yang kuat.
"Kalau keterangan tidak kuat, kita tidak tuduh, jadi kita (timbalan pendakwa raya) mesti buat pertimbangan yang teliti," kata Abu Kassim yang dipetik dalam wawancara ekslusif Mingguan Malaysia hari ini.
Abu Kassim menolak tuduhan mengatakan SPRM hanya membuat dakwaan ke atas kes kecil tetapi tidak kes besar.
"Pertamanya jangan tanya kita mengenai pertuduhan kerana kerja SPRM ialah menyiasat, itu perlu jelas.
"Pendakwaan diputuskan oleh timbalan pendakwa raya," katanya.
Desakan SPRM diberikan kuasa pendakwaan kes rasuah beberapa kali dibangkitkan, saranan sama juga dibuat oleh Jawatankuasa Khas dalam Laporan SPRM 2009.
Malah, badan pemantau pencegahan rasuah antarabangsa, Transparency International (TI-M) juga menggesa agar SPRM diberikan autonomi yang lebih untuk melakukan pendakwaan.
Tiada kuasa pendakwaan yang diberikan kepada SPRM menyebabkan banyak pihak mempersoalkan ketelusan dan integriti pihak berkuasa tersebut, terutamanya dalam melibatkan pendakwaan kes-kes besar.
Abu Kassim berkata, sesuatu pertuduhan yang dibuat mempunyai piawaian tertentu, jika tidak kes pendakwaan akan ditolak oleh mahkamah.
"Yang keduanya, menuduh orang ini ada standardnya, mesti cukup keterangan.
"Pihak pendakwa selalunya melihat keterangan berdasarkan kehendak mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, SPRM juga berdepan kesukaran dalam membuat pertuduhan kerana buktik keterangan semata-mata tidak mencukupi untuk mensabitkan tertuduh.
"Kesukaran yang sering dihadapi apabila kita tidak mempunyai bukti yang cukup seperti tiada siapa yang melihat perkara itu, tiada rakaman video walaupun dia sudah mengaku.
"Berdasarkan pengalaman, timbalan pendakwa raya tidak akan membawa kes seumpama ini ke mahkamah kerana setiap kali dibawa ia akan dibuang kerana mahkamah tidak akan menerima berdasarkan kenyataan semata-mata. Itula masalah kita," katanya.
Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh TI-M tahun lalu, naik satu anak tangga daripada kedudukan 54 ke 53 berbanding 2012.
Malaysia berada di kedudukan ketiga bagi skor CPI antara di kalangan negara Asean, Singapura berada pada kedudukan pertama dengan 86 mata dan diikuti Brunei Kedua dengan 60 mata.
Berbanding Singapura, kedudukan Malaysia masih jauh ketinggalan malah negara jiran itu berada pada tangga kelima daripada keseluruhan 177 negara yang mengambil bahagian dalam kajian skor CPI ini. - 23 Februari, 2014

21 February 2014

Chew Mei Fun lawan Anwar di Kajang

Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun bakal bertanding mewakili parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menentang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chew, 50, adalah bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, ketua wanita MCA, timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta bekas senator.
Selepas tiga tahun mendiamkan diri, Chew membuat kemunculan semula apabila memenangi jawatan naib presiden MCA dalam pemilihan parti Disember tahun lalu.
PRK DUN Kajang diadakan berikutan penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan, dipercayai bagi memberi laluan kepada Anwar menjadi Ahli DUN Selangor yang seterusnya menjadi menteri besar di negeri itu.
Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut dihadiri Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan beberapa pemimpin parti komponen BN lain.
Muhyiddin berkata BN mengambil keputusan untuk bertanding di Kajang dan memilih Chew sebagai calon setelah beberapa siri perbincangan diadakan di antara pemimpin parti komponen BN.
Katanya, pucuk pimpinan BN sebulat suara memilih Chew kerana beliau pernah berkhidmat dalam kerajaan, berpengalaman luas dalam bidang politik serta berjiwa rakyat.
"Kita perlu atur strategi kerana kita sedar lawan yang bertanding juga akan menggunakan 'platform' kerajaan untuk menimbulkan pelbagai isu nasional.
"Pada PRK Kajang ini juga kita dapat menjelaskan perjuangan BN dengan lebih jelas kepada rakyat Kajang mengenai apakah sebenarnya makna demokrasi yang cuba dimanipulasi oleh segelintir individu," katanya di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.
PRK Kajang dijangka menyaksikan pertandingan banyak penjuru setelah bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim, senator Datuk S Nallakaruppan, peguam Yuktes Vijay dan penyanyi retro Herman Tino bakal bertanding di kerusi itu.
Pada pilihan raya umum lalu, penyandang kerusi DUN Kajang, Lee menewaskan calon BN Lee Ban Seng dengan majoriti 6,824 undi.
Awal bulan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh PRK Kajang pada 23 Mac manakala hari penamaan calon akan diadakan pada 11 Mac.
Seramai 39,278 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 38,055 pengundi biasa akan mengundi dalam PRK kali ini, melibatkan 19,612 pengundi lelaki dan 19,666 pengundi wanita.
Semalam, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mengumumkan hasil kajian mereka bahawa lebih separuh pengundi Kajang bersetuju pilihan raya kecil itu perlu diadakan untuk membolehkan Anwar menjadi menteri besar Selangor.
Dalam kajian yang dijalankan itu, Umcedel mendapati pengundi di Kajang berpendapat PRK pada 23 Mac ini bukanlah pembaziran apabila majoriti responden iaitu 53% berpendapat sedemikian dengan kaum India mewakili 60%, Cina (54%) dan Melayu (50%).
Seramai 576 responden yang merupakan pengundi di Kajang menyertai kajian itu yang diadakan hujung minggu lalu membabitkan semua 16 kawasan daerah mengundi.
Antara isu lain yang turut dikaji Umcedel adalah kesan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada sokongan terhadap BN dan isu kenaikan harga barang yang menambahkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat. – 21 Februari, 2014.
  • Blogger news

  • Blogroll

  • About