RSS
Facebook
Twitter

11 March 2014

Enam sebab kehilangan misteri #MH370

Kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbngan MH370 sejak Sabtu terus membingungkan pakar-pakar penerbangan serata dunia. 

Di tahap ini, seorang pakar penerbangan mengemukakan bukti sejarah yang boleh menjadi penyebab kepada kehilangan pesawat Boeing 777-200ER berusia 11 tahun itu. 
Sebab-sebab itu merupakan gabungan kesilapan teknikal dan juruterbang hingga membawa kepada kesan-kesan terkumpul, kerosakan struktur, faktor kemanusiaan, cuaca buruk, kegagalan total elektrik dan rampasan pesawat.
Menurut Perunding Ruang Angkasa dan Pertahanan Frost and Sullivan Asia Pacific, Ravi Madavaram, tidak wujud faktor tunggal yang umumnya menyebabkan pesawat terhempas, tetapi gabungan kerosakan teknikal dan keputusan juruterbang.
Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata kerosakan dan keputusan jika berlaku bersendirian tidak membahayakan. 
"Ini yang berlaku kepada Air France 447. Tidak ada isyarat kecemasan dari Air France 447 kerana pilot (juruterbang) tidak sedar bahawa mereka akan terhempas hinggalah 10 saat sebelum ia berlaku," jelas beliau. 
Mengenai kerosakan struktur, Madavaram berkata kegagalan struktur pesawat boleh menyebabkan pilot hilang kawalan.  
"Ini yang berlaku kepada China Airlines Penerbangan 611, semasa terbang di ketinggian 35,000 kaki pada 2002 bila Boeing 747 (Penerbangan 611) terhempas akibat kesilapan dalam pembaikan kerosakan.
Menyentuh faktor kemanusiaan, beliau menegaskan tindakan yang disengajakan seumpamanya oleh penumpang atau pilot hingga menyebabkan pesawat terhempas ditonjolkan dalam insiden World Trade Centre 9/11.
Pakar itu menyatakan keadaan cuaca buruk seperti salji, kabus, hujan, dan ais boleh menjejas prestasi pesawat, yang berkemungkinan mengakibatkan pesawat terhempas. 
"Ini berlaku pada penerbangan sebuah pesawat Qantas pada 2008 di Bangkok. Pesawat itu mendarat dengan selamat dengan tenaga sokongan dari Auxiliary Power Unit (APU)," katanya. 
Madavaram menolak kemungkinan MH370 dirampas, kerana adalah mustahil bagi pesawat itu terlepas dari semua imbasan radar dalam kawasan penerbangannya. 
Menjelas lanjut, beliau berkata setiap pesawat sivil komersial mempunyai alat pengesan, Emergency Locator Transmitters (ELT), dan ia akan diaktifkan semasa pesawat terhempas bergantung pada kekuatan hentakan atau maklumat diberikan juruterbang.  
Beliau berkata satu lagi lampu isyarat (beacon) dilekatkan pada alat perakam penerbangan atau kotak hitam dipanggil Underwater Locator Beacon (ULB), dan lampur isyarat ini akan diaktifkan sebaik saja ia bersentuh dengan air.
"Andainya pesawat terhempas di air, ELT akan menghantar isyarat, tetapi ia tidak kalis air. ULB mula menghantar isyarat sebaik saja ia tersentuh dengan air," kata beliau.
ELT dan beacon menggunakan bateri sendiri dan kegagalan elektrik tidak menjejas alat-alat ini.
"Bateri beacon atau beacon kotak hitam direka untuk hayat 28 hari. Jika beacon kotak hitam padam dan pesawat tidak dikesan dalam tempoh tersebut, maka satu-satunya harapan ialah mencari serpihan dan dari situ cuba mengesannya dengan gerak berundur," kata beliau. - 12 Mac, 2014.

09 March 2014

PAS beri sokongan penuh kepada Wan Azizah di Kajang

PAS menyokong penuh pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengisytiharkan isteri beliau yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon PKR dalam PRK Kajang.
Perisytiharan penting ini dibuat setelah Anwar hilang kelayakan untuk bertanding kerana keputusan bersalah yang diputuskan Mahkamah Rayuan Jumaat lepas.
"PAS yakin pengundi Kajang akan memberi mandat yang besar kepada Datuk Seri Wan Azizah bagi menyatakan sokongan dan simpati kepada tragedi malang yang  menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS dalam satu kenyataannya.
Wan Azizah diumumkan sebagai calon di Bilik Gerakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang di Batu 12 semalam yang diumumkan sendiri oleh Anwar.
Anwar terlucut kelayakan untuk bertanding di kerusi yang dikosongkan penyandang daripada PKR iaitu Lee Chin Cheh selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Wan Azizah akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun dan Datuk Zaid Ibrahim bagi kerusi berkenaan.
Lee memenangi kerusi DUN Kajang pada Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) dengan majoriti 6,824 undi, menewaskan calon BN Lee Ban Seng dan beberapa calon bebas dalam pertandingan enam penjuru.
"Badan kehakiman diperalatkan Umno untuk menghalang saya sebagai calon.
"Dengan ini saya umumkan Wan Azizah sebagai calon PRK DUN Kajang," kata Anwar dalam majlis itu.
Wan Azizah pernah bertanding atas tiket Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau memenangi kerusi berkenaan selama dua penggal iaitu pada pilihan raya 2004 dan 2008.
Pada September 2008, beliau meletakkan jawatan bagi membolehkan Anwar menyertai semula arena politik sebagai wakil Parlimen. – 10 Mac, 2014.

07 March 2014

SPR kaji kelayakan Anwar bertanding PRK Kajang

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneliti peruntukan undang-undang berhubung kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hari ini didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata memandangkan ia kes pertama seumpamanya berlaku, kajian terperinci harus dilakukan bagi mengelakkan sebarang implikasi.
Kajian akan dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, katanya.
Mahkamah Rayuan hari ini mendapati Anwar yang juga Ketua Pembangkang bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas membenarkan rayuan pihak pendakwa.
Abdul Aziz berkata mengikut undang-undang, sepatutnya jika dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda lebih dari RM2,000, secara automatik hilang kelayakan bertanding.
"Namun kita akan mengkaji adakah rayuan Anwar, jika dibuat, untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan boleh diguna pakai untuk beliau bertanding," katanya.
Abdul Aziz berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan penasihat undang-undang SPR mengenai perkara tersebut.
Pihak pendakwa merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012, yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Penamaan calon bagi PRK DUN Kajang ditetapkan Selasa ini dan pengundian pada 23 Mac. – 7 Mac, 2014.

05 March 2014

SPR umum PRK Balingian 29 Mac

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 29 Mac sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian selepas PRK Kajang yang ditetapkan pada 23 Mac selesai diadakan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tarikh pengundian awal adalah pada 25 Mac manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 17 Mac.
Aziz berkata, daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2012 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku pertama, kedua, ketiga 2013 dan dikemaskinikan sehingga 27 Februari 2014.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan tarikh PRK berkenaan pada pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai PRK DUN Balingian di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, hari ini.
Kerusi DUN Balingian kosong susulan peletakan jawatan penyandangnya Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Pengerusi SPR turut mengumumkan seorang pegawai pengurus pilihan raya, Shafrie Saili dan tiga penolong pegawai pengurus dilantik bagi menjalankan PRK tersebut.
“Bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi yang ditetapkan, SPR menubuhkan tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya (PP-KPR)," katanya.
Aziz berkata, SPR akan menggunakan Dewan Suarah Mesra Mukah sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.
"SPR menetapkan 21 pusat mengundi bagi pengundian biasa dan sebuah pusat mengundi bagi pengundian awal.
"Seramai 441 petugas pilihan raya akan dilantik untuk proses pengendalian pilihan raya," katanya.
Beliau berkata, anggaran kos perbelanjaan bagi PRK Balingian ialah RM910,213.
Walaupun sebelum ini, terdapat ura-ura menyatakan PRK Balingian akan diadakan serentak dengan PRK Kajang, Aziz bagaimanapun berkata, ia tidak mampu dilakukan kerana jangka masa yang agak singkat.
"Daripada segi undang-undang memang tidak ada masalah untuk mengadakan PRK serentak Balingian dan Kajang.
"Namun tidak pada teknikalnya kerana tempoh masa yang singkat kita tidak cukup petugas untuk menjalankan PRK serentak," katanya.
Selain itu, beliau mengakui cabaran PRK Balingian dan Kajang adalah dua perkara biasa apabila SPR sudah mengetahui sebulan sebelum itu.
"Ia amat berbeza kerana kita sudah ada persiapan awal apabila mendengar ura-ura peletakan jawatan sebulan lalu, jadi segala kesulitan di Balingian tidak begitu menonjol.
"Berbeza dengan PRK Kajang, kita akui agak terkejut dengan peletakan secara tiba-tiba bekas Adunnya, Lee Chin Cheh," katanya.
Mengikut daftar pemilih yang dikemaskini sehingga 27 Februari 2014 Balingian mempunyai 13,666 pemilih pendaftar terdiri daripada 13,233 pengundi biasa dan 133 pengundi awal. - 6 Mac, 2014.

04 March 2014

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan membatalkan rayuan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat polis untuk memberi keterangan tambahan dalam kes liwatnya.

Ini membuka jalan bagi Mahkamah Rayuan untuk mendengar, seperti dijadualkan, pada 6 dan 7 Mac rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar atas dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008.
Pada 12 Februari Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk memanggil semula Supt Judy Blacious Pereira dalam kes liwatnya berhubung isu kewibawaannya.
Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Suriyadi Halim Omar, dalam keputusan sebulat suara, berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah betul dan bahawa permohonan kedua Anwar bukan permohonan yang boleh dirayu mengikut tafsiran Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Hakim Suriyadi berkata mahkamah tertinggi bersetuju dengan penghujahan pihak pendakwaan, yang diketuai Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, bahawa keputusan Mahkamah Rayuan tidak melupuskan hak responden.
"Rayuan itu tidak cekap memandangkan perayu tidak dihalang sepenuhnya," demikian diputuskan Hakim Suriyadi.
Empat anggota panel hakim yang lain ialah Tan Sri Ahmad Maarof, Datuk Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Abu Samah Nordin.
Semalam, Anwar gagal dalam cubaan ketiga di Mahkamah Rayuan bagi menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan atas alasan bahawa peguam kanan itu seorang yang tidak sesuai dan wajar untuk menerima pelantikan memandangkan dia didapati bersalah dan didenda RM5,000 oleh Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara kerana melangar Akta Profesion Undang-undang.
Anwar pertama kali mencabar kesahihan pelantikan Muhammad Shafee mengikut Kanun Acara Jenayah tetapi ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun lepas.
Mahkamah Persekutuan turut menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 November tahun lepas.
Permohonan keduanya untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee, berdasarkan akuan bersumpah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk M Zain Ibrahim, turut ditolak Mahkamah Rayuan pada 20 Disember tahun lepas.
Rayuannya di Mahkamah Persekutuan turut ditolak pada 11 Februari tahun ini.
Shafee dilantik oleh Peguam Negara secara “fiat” (autoriti beliau) mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Acara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mengendalikan rayuan di Mahkamah Rayuan. – Bernama, 4 Mac, 2014.

02 March 2014

Selama 16 tahun, Johari (bukan nama sebenar) meringkuk di dalam penjara sebagai banduan reman dan sementara menunggu hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya, atas tuduhan mengedar dadah di Malaysia.

Akhirnya, pada Selasa lalu (25 Februari), Mahkamah Rayuan membebaskannya selepas melalui proses perundangan panjang dan penuh berliku.

Peguamnya, Karpal Singh, berkata Johari kini dianggap orang yang paling lama dipenjarakan di Malaysia sebelum disabit kesalahan.

Pada 4 Januari, 1998, Johari dan seorang lagi ditangkap polis di Gelugor, Pulau Pinang, kerana memiliki 35kg ganja, dan sejak itu dia direman kerana tuduhan ke atasnya tidak boleh diberikan jaminan.

Seorang lagi yang ditangkap bersamanya didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada Mei 2000.

Johari dijatuhkan hukuman mati sebanyak dua kali, pertama pada Mei 2004 dan kedua pada Januari 2011, oleh Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang.

Karpal berkata, selepas disabit kesalahan, Johari ditempatkan sebagai tahanan menunggu hukuman mati di antara 2004 dan 2010.

Hukuman ini diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2010, dan perbicaraan semula diarahkan.

Pada Januari 2010, sekali lagi, Johari dijatuhkan hukuman mati, tetapi minggu lalu, Mahkamah Rayuan membebaskannya atas alasan teknikal.

Karpal berkata, perbicaraan semula memerlukan anak guamnya dikenakan tuduhan di mahkamah majistret telebih dahulu sebelum perbicaraan tuduhan pengedaran dadah boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi.

“Mereka mengulangi semua prosedur dan membekalkan dokumen kepada si tertuduh seolah-olah Johari dihadapkan tuduhan baru," katanya.

Namun, katanya, pihak pendakwa memulakan perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Kini, Johari bebas, tetapi dia masih dihantui hari-harinya di penjara Perlis itu. Mana tidaknya, dia ditahan sebegitu lama.

"Mereka yang ditahan teruk menghadapi tekanan kerana menunggu hukuman mati. Ia mematahkan anda.

"Anda tidak akan keluar sebagai orang yang sama, walaupun didapati tidak bersalah atau diampunkan. Semuanya terlambat. Selagi belum kena, anda tidak akan tahu perasaan ini," kata lelaki berusia 41 tahun itu kepada The Malaysian Insider di Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Johari berkata, apa yang dilaluinya tidak boleh dibayangkan orang lain, dan dia kehilangan beberapa tahun daripada hayatnya, dikurung bersendirian di dalam sebuah bilik yang tiada kemudahan ketika berusaha untuk bebas daripada tuduhan yang membawa kepada hukuman mati mandatori.

"Tidak ada televisyen, tetapi ada masanya banduan diberi peluang baca akhbar. Teman saya hanyalah sebuah walkman yang dibelikan keluarga saya.

"Bila anggota keluarga menziarahi saya, kami diberikan masa 30 minit berbual, namun sentuhan fizikal dihalang oleh sebuah skrin. Ia tidak dibenarkan walaupun pada Hari Raya," katanya.

Johari kelihatan masih diselubungi pengalamannya di penjara, seolah-olah masih belum reda daripada kejutan kesan apa yang berlaku.

Tetapi beliau dengan tegas dan jelas mahu hukuman mati dimansuhkan, kerana setiap insan perlu diberi peluang kedua.

Dia masih ingat ketakutannya di dalam penjara, dan bagaimana beberapa rakan banduan akan dibawa keluar, tidak kembali lagi, dan hanya mampu berdoa.

"Tidak ada pengampunan jika dijatuhkan hukuman mati. Janganlah lakukannya. Manusia tidak boleh membuat undang-undang untuk membunuh manusia lain," katanya, dan menambah bahawa Lembaga Pengampunan lembap dalam memberikan satu lagi peluang hidup kepada banduan hukuman mati.

Adik Johari, yang hanya mahu dikenali sebagai Johan, 39, berkata ibu bapa mereka amat terkesan dengan apa yang berlaku ke atas anak sulung mereka, dan beberapa kali menyerah kalah.

Mereka tidak arif tentang undang-undang, dan hanya bergantung kepada Karpal dan anaknya Jagdeep Singh Deo, sepanjang perbicaraan. Jagdeep, kini Exco kerajaan Pulau Pinang dan sudah berhenti menjadi peguam.

"Kami amat gembira Johari kembali ke pangkuan kami. Jika semua ini tidak berlaku, dia mungkin sudah berkahwin dan sudah ada dua anak.

"Keluarga kami mengharungi kesusahan ini bersama. Kami perlu menghadapi pandangan masyarakat. Manusia tidak cepat memaafkan atau memahami bila dapat tahu ada penjenayah di kalangan keluarga anda," kata Johan.

Mengenai masa depan Johari, Johan berkata, abangnya kini perlu menyesuaikan diri dengan dunia luar yang banyak berubah sepanjang 16 tahun.

"Saya akan mengambil selangkah demi selangkah. Mungkin saya boleh mulakan perniagaan. Dengan usia saya dan rekod saya yang dicemari, saya tidak fikir ada yang mahu ambil saya bekerja," kata Johari.

Karpal berkata, Johari mungkin menempa sejarah sebagai orang yang paling lama dipenjara sebelum dibebaskan daripada tuduhan.

Beliau terkilan dengan perjalanan kes Johari - ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan untuk perbicaraan semula, dan dijatuhkan hukuman mati untuk kali kedua.

"Satu perbicaraan sudah memadai. Saya juga hairan," kata Karpal, yang menulis kepada peguam negara untuk meminda tuduhan ke atas Johari kepada tuduhan memiliki dadah, yang membawa kepada hukuman penjara, namun permohonannya ditolak.

Karpal, yang berjuang untuk memansuhkan hukuman mati, berkata hakim boleh menggunakan budi bicara di dalam kes tertentu.

"Hakim juga mendapat tekanan kerana hukuman mati mandatori," katanya, dan mencadangkan mahkamah diberi kuasa menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman mati atau tempoh penjara berdasarkan fakta kes. - 3 Mac, 2014.

01 March 2014

Coretan kolumnis, Utusan Malaysia hari ini memberi tumpuan kepada pemilihan parti PKR, dengan mempersoalkan pendirian ketua umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya ada pertandingan di antara dua seteru politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden.

"Persoalan lain, siapa yang Anwar akan sokong jika berlaku pertandingan antara Azmin dan Khalid? Jawapannya mudah, Anwar akan memihak kepada Azmin iaitu pemimpin PKR yang paling dipercayainya selain ikatan istimewa bagaikan keluarga.
"Apatah lagi rahsia Anwar cukup banyak di tangan beliau, yang sebahagian kisah sudah diperkatakan umum. Itu sahaja sudah cukup buat Anwar tak keruan," tulis ruang Awang Selamat, yang menyifatkan pengumumam Khalid dua hari lalu akhirnya menyerlahkan "suara panglimanya".
Semalam, Khalid, yang juga menteri besar Selangor, berkata keputusan beliau bertanding untuk jawatan yang disandang Azmin itu adalah untuk membawa perubahan di dalam PKR, sambil menyifatkan dirinya mempunyai kelebihan di samping rekod kerja yang lebih meyakinkan.
"Kekuatan saya sudah tentu pada 'track record' saya yang sangat jujur dan berdedikasi. Paling penting tujuan bertanding adalah untuk membawa pembaharuan," kata Khalid.
Bagi Utusan Malaysia pula, keyakinan Khalid itu ada asasnya, dan peluang ini diperkuatkan lagi dengan sokongan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin lain seperti Nurul Izzah Anwar, Chua Tian Chang, Datuk Saifudin Nasution Ismail  dan Datuk Johari Abdul.
Akhbar itu membayangkan Khalid tidak akan melepaskan jawatan menteri besar untuk memberi laluan kepada Anwar jika ketua pembangkang itu menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac ini, sepertimana yang dirancang dalam apa yang disebut sebagai Rancangan Kajang.
Katanya, ini dikelirukan lagi dengan niat Wan Azizah yang mahu bersara daripada jawatan presiden.
"Sekiranya Anwar mahukan jawatan Presiden, Azmin kekal bertanding timbalan. Jika Anwar enggan bertanding, Azmin akan melangkah ke jawatan nombor satu.
"Tetapi bagaimana seandainya Anwar didapati bersalah dalam rayuan kes liwat terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan dan dijatuhi hukuman penjara? Apakah Azmin akan diberi laluan mudah menjadi presiden PKR tanpa Anwar di sisi?" soal Awang Selamat lagi.
Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini. Penamaan calon di peringkat pusat akan diadakan pada 29 Mac.
Bagi peringkat cawangan pula, ia akan diadakan mengikut zon bermula 4 hingga 13 April ini.
Azmin menjadi Timbalan Presiden PKR sejak 2010 dan tidak lama kemudian dilantik menjadi pengerusi PKR Selangor, menggantikan Khalid. – 2 Mac, 2014.
  • Blogger news

  • Blogroll

  • About