Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui politik wang masih berleluasa dalam Umno dan mengakui perwakilan yang mengundi pada pemilihan kali ini didalangi dengan kerenah politik wang.
Beliau berkata rakyat tidak perlu berharap kerajaan untuk membetulkan sistem sedia ada kerana mereka masih tidak mampu memperbaiki kelemahan dalam Umno.
"Saya dapati budaya rasuah masih berleluasa dan mereka yang mengundi dalam pemilihan hanya didorong oleh kerenah politik wang.
"Saya sendiri semasa bertanding di peringkat bahagian Umno terpaksa menyalurkan RM200 seorang. Jadi anda boleh bayangan berapa banyak yang telah dihabiskan sehingga saya menjadi Perdana Menteri," katanya dalam Majlis Sambutan Aidiladha di Kuala Lumpur hari ini.
Dr Mahathir turut menyifatkan perpaduan yang lemah di kalangan orang Melayu menyebabkan suara mereka kurang didengari akibat suara orang Melayu yang terpecah kepada parti Umno, PKR dan PAS.
Katanya,? kritikan kaum bukan Melayu yang melabel kualiti kerja orang Melayu berada pada tahap rendah perlu segera disangkal kerana kejayaan Malaysia pada hari ini adalah hasil air tangan 95% orang Melayu.
"Kejayaan Malaysia dapat dibanding dengan negara yang sama-sama mencapai kejayaan. Lihat betapa kita lebih jauh ke hadapan berbanding negara di Afrika dan Asia lain yang mendapat kemerdekaan.
Sehinggakan sekarang kita sudah tidak lagi boleh mengungkapkan perkataan Melayu kerana akan dianggap rasis. Tetapi jika kita menyebut Cina atau India tak salah. Tak dituduh rasis. Saya dibenar guna perkataan Melayu kerana saya memang rasis," katanya.
Ketika ditanya, adakah beliau akan mengemukakan aduan kepada jawatankuasa disiplin tentang politik wang dalam Umno, katanya beliau tidak mempunyai bukti kukuh untuk melaporkan individu tersebut.
Dr Mahathir berkata beliau enggan mengemukakan lap?oran disebabkan tidak akan ada orang yang akan mengaku memberi dan menerima wang dalam pemilihan parti.
Pada masa saya menjadi presiden dulu pun, saya tahu seorang calon yang menggunakan banyak wang untuk menang jawatan timbalan presiden tetapi bila ditanya ternyata mereka tidak mahu mengaku.
Saya dapat maklumat politik wang ini masih berlaku. Biarpun 150,000 perwakilan yang akan keluar mengundi, masih ada yang mampu. Ini masalah yang serius, mencemar maruah parti dan mengakibatkan pemimpin yang salah dipilih," katanya. ?
Hari ini Transparency International Malaysia (TI-M) mendakwa tiga penyandang Naib Presiden mengamalkan politik wang menjelang pemilihan parti itu esok dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk campur tangan.
Presiden badan pemantau rasuah itu, Datuk Akhbar Satar berkata pihaknya membuat dakwaan berkenaan selepas menerima beberapa maklum balas terhadap ketiga-tiga penyandang yang memegang jawatan menteri dalam Kabinet Datuk Seri Najib Razak.
"TI-M menerima banyak maklum balas mengenai terdapat sejumlah besar wang diedarkan tahun ini untuk membeli undi menjelang pemilihan Umno.
"Kami difahamkan penglibatan wang yang besar dan diedarkan pada program khas diadakan oleh penyandang Naib Presiden, yang juga memegang jawatan menteri kanan," katanya.
TI-M juga mempersoalkan peranan SPRM dalam menangani isu politik wang yang berlaku dalam Umno serta bukan hanya sekadar alasan masalah tersebut adalah masalah dalaman sesebuah parti.
Tiga penyandang naib presiden yang mempertahankan jawatan tersebut adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Mereka dicabar oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.
Akhbar berkata, isu politik wang tidak boleh lagi disembunyikan kerana ia melibatkan skandal wang yang besar dan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan kelangsungan politiknya.
Selain itu, katanya, penggunaan politik wang dan salah guna jentera juga adalah sesuatu yang tidak adil kepada calon lain yang bertanding tetapi tidak mempunyai kemampuan dan aset sama seperti calon berkenaan.
0 comments:
Post a Comment