PHUKET, 24 Mei (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan untuk
menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal adalah rasional dan perlu
dikaji secara mendalam untuk kesinambungan sokongan rakyat pada masa depan.
Timbalan Perdana Menteri hari ini berkata cadangan besar dan penting bagi
memastikan BN kekal relevan itu perlu difikirkan segera oleh setiap parti
komponen dan dijawab dalam tempoh terdekat jika mengambil kira keputusan pada
Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.
“Selepas mengambil kira apa yang berlaku dalam PRU lepas kalangan pimpinan
BN melontarkan pandangan apakah wajar BN dilihat semula kerana kerjasama yang
wujud sekarang ialah penggabungan 13 parti yang menjadi komponen BN dengan
setiap parti mempunyai perlembagaan sendiri dan cuma bergabung atas nama BN.
“Ada yang berpendapat mungkinkah sudah sampai masa bahawa penggabungan itu
dapat dibentuk dalam satu situasi yang lebih mantap iaitu BN sebagai sebuah
parti politik, bukan lagi gabungan pelbagai parti politik,” katanya mengulas
cadangan parti Gerakan yang mahu BN bersifat parti tunggal seperti mana yang
dinyatakan pemangku presidennya Datuk Chang Ko Youn dua hari lepas.
Bercakap kepada pemberita di sini, Muhyiddin berkata cadangan itu mempunyai
asas tetapi menuntut setiap parti melakukan kajian mendalam dengan mendapatkan
maklum balas dan pandangan anggota parti masing-masing kerana ia melibatkan soal
organisasi dan struktur penubuhannya.
-- LAGI
MUHYIDDIN-MAKMAL 2 PHUKET
Beliau berkata walaupun cadangan itu mungkin berdepan tentangan tetapi yang
penting setiap anggota parti perlu melihat ke depan dan jika merasakan ia wajar
dilakukan, satu mekanisme pelaksanaan yang boleh diterima semua anggota parti
yang bergabung dalam BN perlu dikemukakan segera.
"Ini adalah lebih dari soal bermuhasabah, kita kena lihat sendiri struktur
BN yang sedia ada bahawa apakah sudah sampai ketikanya sebuah parti yang
dinamakan BN dibentuk, bukan lagi dalam bentuk gabungan parti-parti komponen BN
tetapi BN sebagai sebuah parti politik," katanya.
Sehubungan itu beliau mencadangkan sebuah makmal politik diadakan bagi
mencerna idea tentang format baru BN seperti yang dicadangkan di mana semua
pihak, termasuk kalangan bukan anggota parti yang mengambil berat mengenai masa
depan negara dan ingin memberi sumbangan turut dilibatkan.
“Bagi saya itu sesuatu yang agak besar tetapi saya juga berpendapat ia
penting kerana saya tidak tahu sama ada kita boleh kekalkan kedudukan sebegini
untuk tempoh lima tahun mendatang tetapi yang pasti persoalan ini perlu dijawab
dalam tempoh yang terdekat dan kalau ia wajar, bagaimana hal itu hendak
dilaksanakan.
“Ini perlu difikirkan untuk tempoh beberapa bulan dan setahun ke hadapan,
kalau sudah dianggap boleh selepas makmal itu dibuat mungkin boleh panggil satu
konvensyen maka pemimpin BN boleh duduk bersama bagi membincangkan hala tuju dan
survival parti di masa depan,” katanya.
-- LAGI
MUHYIDDIN-MAKMAL 3 (AKHIR) PHUKET
Ditanya apakah beliau akan membawa cadangan penubuhan makmal itu ke
peringkat lebih tinggi, Muhyiddin berkata: “di peringkat BN saya pun telah
beritahu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin satu daripada
perkara yang kita akan teliti ialah struktur BN itu sendiri, bukan lagi sekadar
kosmetik tetapi secara serius bagaimana ia harus berubah dari yang lama kepada
struktur baharu yang lebih ke hadapan.
Beliau berkata cadangan itu mengambil kira perubahan pemikiran masyarakat,
pengundi dan generasi muda yang sebahagiannya tidak mahu melihat parti yang
dikatakan dibentuk berasaskan kaum.
Dalam perkembangan lain Timbalan Perdana Menteri berkata bedah siasat BN
berhubung keputusan pilihan raya umum yang sedang dilakukan oleh sebuah badan
yang dilantik khas boleh diketahui selewat-lewatnya Julai ini.
Muhyiddin berkata bagi memastikan analisis yang tepat, bebas dan telus
pasukan itu dibentuk dari kalangan mereka daripada luar parti bagi memberi
kebebasan sepenuhnya kepada mereka untuk mengemukakan pandangan asalkan
berasas.
“Kita tidak mahu berselindung, kita hendak tahu apakah sebab kita menang
atau kalah, apa faktor yang menyebabkan kemenangan dan kekalahan, dan lebih
lanjut daripada itu adalah perakuan-perakuan yang kita akan buat untuk
menentukan supaya BN terus relevan dan bagaimana kita menangani tempoh lima
tahun sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
MYS JM NH